MARDI HASILKAN MDUR 88, SETANDING MUSANG KING

KUALA KANGSAR, 28 JULAI (IKIM) – MARDI Kuala Kangsar berjaya menghasilkan satu varieti durian MDUR 88 yang setanding dengan durian yang mendapat perhatian ramai, Musang King dan ianya dijual dengan harga yang berpatutan. 

Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Arthur Joseph Kurup, beliau akan memastikan usaha mempromosi dan memperkenalkan durian varieti ini akan dijalankan oleh MARDI untuk pasaran tempatan malah akan dikembangkan usaha penanaman durian varieti MDUR 88 ini. 

Beliau dalam pada itu turut berkongsi keyakinan bahawa durian varieti MDUR 88 ini mempunyai potensi luas untuk dikembangkan. Katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja ke Duriotourism MARDI Kuala Kangsar bagi merasai suasana dan menikmati pelbagai varieti durian bersama pihak media. 

MARDI Kuala Kangsar yang dikenali dengan nama Duriotourism ini mengetengahkan lima konsep iaitu teknologi, inovasi, pemuliharaan, pendidikan dan rekreasi (TICER) yang mana antara salah satu objektifnya adalah memindahkan teknologi durian MARDI kepada orang ramai yang mengunjungi Taman Agro ini.

Pakej Duriotourism yang dilaksanakan mengikut musim durian ini memberi pengalaman kepada pengunjung untuk membuat lawatan ke ladang durian sebenar dengan menaiki tram dengan diiringi jurupandu yang berpengalaman luas dalam penanaman dan varieti durian. 

Diantara durian yang terdapat di sini seperti durian hibrid MARDI iaitu MDUR 78 (D188), MDUR 78 (D189) dan MDUR 88 (D190) berpotensi tinggi dan sering mendapat permintaan yang tinggi daripada pengunjung dan penanam durian di seluruh Negara.

Majlis turut di hadiri oleh YBrs Dr Azman bin Ismail, Pengerusi MARDI dan YBhg Dato’ Dr Mohamad Zabawi bin Abdul Ghani, Ketua Pengarah MARDI.

WhatsApp
Scroll to Top