MALAYSIA TERUS JADI PAYUNG KEKUATAN UMMAH – KP IKIM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (IKIM) – Malaysia disifatkan sebagai sebuah negara Islam yang menjadi harapan dunia ketika ini, khususnya di rantau Nusantara dengan semangat dan iltizam yang tidak pernah luntur dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di Gaza.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata meskipun Malaysia sebuah negara kecil namun semangat solidariti dan keberanian yang ditunjukkan dalam mempertahankan hak rakyat Palestin menjadikannya payung kekuatan umat Islam di peringkat antarabangsa.

Beliau menzahirkan rasa kesal terhadap kelemahan beberapa negara Islam lain, khususnya di rantau Arab yang dilihat kurang tegas dalam menangani kezaliman rejim Zionis. 

“Malaysia berperanan penting mendesak negara-negara tersebut agar mengambil tindakan, termasuk melalui tekanan ekonomi terhadap Israel,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh Astro Awani pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka di Axiata Arena, di sini malam tadi. 

Dalam masa yang sama, beliau memuji pendekatan pragmatik Perdana Menteri dalam menguruskan isu Palestin dengan penuh kebijaksanaan mengimbangi antara usaha diplomasi dan pendirian tegas menentang kekejaman Israel.

Mohamed Azam berkata keberanian Malaysia menyuarakan ketegasan terhadap kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan usaha memujuk ke arah gencatan senjata menyeluruh menunjukkan komitmen negara dalam memperjuangkan keadilan sejagat berasaskan prinsip Islam dan kemanusiaan.

Himpunan yang disertai ribuan rakyat Malaysia bagi menyatakan sokongan kepada penderitaan Palestin itu turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar serta barisan jemaah menteri, selain disertai 23 delegasi Malaysia daripada kumpulan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang diselamatkan daripada tahanan rejim Israel dan selamat dibawa pulang ke tanah air kelmarin.

WhatsApp
Scroll to Top