MALAYSIA PERKUKUH PERANAN SEBAGAI HAB HALAL GLOBAL – ANWAR

KUALA LUMPUR, 19 Sept (IKIM)– Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan MADANI akan terus memposisikan industri halal sebagai pemacu utama ekonomi negara dengan menekankannya dalam setiap misi pelaburan dan rundingan perdagangan dua hala.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia bukan sahaja menjadikan halal sebagai model ekonomi sejagat, malah mengangkatnya dalam perbincangan dengan negara majoriti Islam mahupun bukan Islam.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2025 di Kuala Lumpur. 19 September 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

“Sebagai contoh, dalam KazanForum 2025 di Rusia baru-baru ini, saya menonjolkan kepakaran Malaysia dalam pensijilan halal dan menawarkan sokongan untuk memperkukuh standard halal global. Pada Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS di Brazil pula, saya menyeru syarikat-syarikat Brazil dan Malaysia untuk merebut peluang perniagaan dalam industri halal,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2025 dan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Sri Utama Tengku Zafrul Abdul Aziz; dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2025 di Kuala Lumpur. 19 September 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

Anwar menegaskan Malaysia telah mengekalkan kedudukan teratas dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI)selama 11 tahun berturut-turut, hasil kecemerlangan dalam kewangan Islam, makanan halal serta media dan rekreasi.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2025 di Kuala Lumpur. 19 September 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

Beliau berkata hala tuju Malaysia sebagai hab halal terkemuka dunia telah digariskan menerusi Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“Pemacu utama industri halal ialah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Justeru kerajaan MADANI komited melaksanakan inisiatif strategik bagi memperkukuh kedudukan mereka di pasaran global,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), kerajaan memperuntukkan dana besar bagi menggalakkan pertumbuhan sektor halal yang dijangka menyumbang RM231 bilion kepada KDNK menjelang 2030.

Pasaran halal global kini bernilai RM16.02 trilion dan dijangka meningkat kepada RM22.88 trilion menjelang 2030, dengan Malaysia menyasarkan eksport halal mencecah RM80 bilion.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut mengumumkan penggunaan penuh Platform Perdagangan Digital MADANI (MDT) pada MIHAS 2025, sebuah platform berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi mengoptimumkan padanan perniagaan rentas sempadan khususnya untuk PMKS.

“Dengan sokongan teknologi seperti analisis data raya, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI), MDT dijangka berkembang menjadi platform perdagangan pintar serta pemacu perubahan sebenar bagi industri halal Malaysia,” katanya.

Anwar turut menyeru masyarakat antarabangsa memanfaatkan halal bukan sekadar industri, tetapi sebagai sistem nilai beretika yang mengutamakan keadilan sosial, kemuliaan manusia dan kelestarian alam sekitar.

MIHAS 2025, yang berlangsung dari 17 hingga 20 September 2025 di MITEC, Kuala Lumpur, dianjurkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengangkat tema “Mercu Keunggulan Halal

Acara ini menampilkan 2,400 reruai dengan penyertaan pempamer dan pembeli dari 80 negara, dijangka menarik 45,000 pengunjung serta mencapai sasaran jualan RM4.5 bilion.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil. 

Foto: FB Anwar Ibrahim/Fath Rizal/Pejabat Perdana Menteri

WhatsApp
Scroll to Top