PUTRAJAYA, 5 Ogos (IKIM) – Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab keilmuan Islam serantau menerusi penganjuran program-program berimpak tinggi yang memartabatkan disiplin hadis di peringkat antarabangsa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata, hadis kekal sebagai panduan sepanjang zaman dalam menghadapi cabaran global masa kini seperti Islamofobia, perubahan iklim, keruntuhan moral, gangguan teknologi dan konflik geopolitik.

“Hadis bukan sekadar sumber kedua selepas al-Qur’an, malah ia menjadi asas dalam bidang fiqh, akidah, akhlak dan penyucian jiwa. Justeru, ia mesti difahami secara mendalam dengan pendekatan reflektif, pemikiran kritis dan kefahaman kontekstual,” katanya ketika merasmikan Simposium Antarabangsa Hadis 2025, di sini hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa hadis adalah satu amanah dan warisan yang perlu dipelihara, diamalkan serta diwariskan kepada generasi akan datang melalui kerjasama kukuh antara para ilmuwan, institusi dan masyarakat.

Beliau turut menekankan kejayaan penganjuran International Sama’ Hadith Sahih al-Bukhari 2024 di Masjid Putra, Putrajaya pada November tahun lalu sebagai satu detik bersejarah apabila Malaysia menjadi tuan rumah pertama di Asia Tenggara bagi majlis sama’ penuh kitab Sahih al-Bukhari secara terbuka.
“Program ini bukan sahaja menghimpunkan ulama dari pelbagai negara, malah membuka ruang kepada pelajar, guru dan orang awam menyaksikan penyampaian hadis secara autentik dengan sanad yang sahih,” katanya.
Mohd Na’im berkata usaha ini menghidupkan kembali tradisi keilmuan klasik dengan pendekatan moden, di samping meningkatkan penghargaan masyarakat terhadap ilmu Islam yang sahih serta meletakkan Malaysia sebagai pemain aktif dalam wacana global mengenai pembangunan ilmu dan rohani.

“Ini adalah manifestasi hidup kepada visi Malaysia MADANI, penyatuan nilai Islam, kecemerlangan intelektual dan keterlibatan global,” tambah beliau.
Program anjuran Universiti Islam Selangor (UIS) dengan kerjasama Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Yayasan KUIS, KUISCELL dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UIS, Dr. Abdul Razif Zaini; dan Pengarah Pusat SYARAK IKIM, Dr. Nik Roskiman Abdul Samad.