MALAYSIA NEGARA PERTAMA AGIH KAD NUSUK HAJI SECARA LANGSUNG

KUALA LUMPUR, 23 April (IKIM) – Malaysia sekali lagi melakar sejarah menjadi negara pertama pengagihan kad nusuk haji bagi musim haji 1446H/2025M secara langsung dalam negara sebelum berlepas ke Tanah Suci.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata kejayaan ini adalah bukti kerjasama baik di antara kerajaan Arab Saudi dengan Malaysia.

“Ini satu pengiktirafan yg amat besar dari kerajaan Arab Saudi atas kecekapan sistem pengurusan haji negara serta hasil hubungan erat serta strategik yg telah lama terjalin antara pihak Tabung Haji dan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.”

Berbeza dengan musim haji tahun lalu di mana kad itu hanya diagihkan setelah jemaah haji tiba di Tanah Suci itu, Mohd Na’im berkata pengedaran kad nusuk secara langsung pada tahun ini akan memudahkan urusan pergerakan jemaah haji, sekaligus mengurangkan risiko terjebak dengan penipuan pakej haji.

Beliau berkata demikian dalam sidang media hasil lawatan beliau ke Unit Proses Haji, Tabung Haji pada Selasa (22 April).

Pengagihan kad nusuk haji akan berlangsung di balai berlepas induk, Movenpick Hotel & Convention Centre sebelum jemaah haji bergerak ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) untuk penerbangan.

Kad nusuk itu pertama kali dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi pada musim haji tahun 2024 sebagai dokumen rasmi serta bukti pengesahan jemaah haji untuk melaksanakan ibadah haji.

Mohd Na’im turut memaklumkan bahawa pengeluaran visa haji untuk jemaah haji telah mencapai 45 peratus.

Seramai 632 petugas haji terdiri dari petugas kebajikan, perubatan dan agensi luar terlibat dalam musim haji kali ini.

Penerbangan kapal terbang pertama jemaah haji akan berlepas pada 29 April, Selasa.

Oleh Husna Fathiyyah Mohd Fairuz

WhatsApp
Scroll to Top