PUTRAJAYA, 19 Mac (IKIM) – Kerajaan Malaysia dengan tegas mengutuk tindakan kejam rejim Israel yang terus mengingkari perjanjian gencatan senjata dengan melancarkan serangan tanpa perikemanusiaan terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Dalam serangan udara terbaru di Semenanjung Gaza, sebanyak 404 nyawa tidak berdosa terkorban, termasuk wanita dan kanak-kanak, sementara 562 lagi dilaporkan cedera. Kerajaan Malaysia menyifatkan tindakan ini sebagai jenayah perang yang tidak boleh diterima sama sekali.
Menteri Di Jabatan Oerdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar dalam pada itu menyeru semua masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarahkan untuk melaksanakan Solat Hajat secara berterusan sepanjang baki Ramadan.
“Umat Islam di seluruh negara turut diseru untuk bersama-sama bermunajat agar rakyat Palestin diberikan keselamatan dan kemenangan dalam menghadapi kezaliman ini,” ujar beliau.
Malaysia kekal teguh dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menegaskan bahawa negara ini tidak akan berdiam diri terhadap keganasan yang dilakukan oleh rejim Israel.
Pada masa yang sama, kerajaan turut menyeru masyarakat antarabangsa agar mengambil tindakan tegas bagi menghentikan keganasan Israel serta memastikan keadilan dapat ditegakkan untuk rakyat Palestin yang terus dizalimi.
Gambar : UNRWA