MALAYSIA BAKAL MENGANJURKAN MAJLIS SAMA’ HADIS SAHIH AL-BUKHARI ANTARABANGSA 2024

PUTRAJAYA, 27 Okt (IKIM) – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengumumkan akan menganjurkan Majlis Sama’ Hadis Sahih Al-Bukhari Antarabangsa 2024 yang merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Madani untuk mengukuhkan syiar Islam dan mengembangkan penghayatan ilmu agama dalam kalangan masyarakat.

Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam satu kenyataan berkata majlis ini akan menjadi satu acara istimewa dengan kehadiran para ulama dan ilmuan dari dalam dan luar negara. Mereka akan memberikan syarahan serta memperkukuh kefahaman umat Islam terhadap hadis-hadis sahih Al-Bukhari.

“Majlis ini adalah peluang untuk menyelami khazanah ilmu yang agung dan menyumbang kepada pengukuhan syiar Islam di negara ini,” ujarnya.

Majlis yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 21 November di Masjid Putra, Putrajaya ini bakal menghimpunkan ramai tokoh ilmuan terkemuka termasuk Al-Allamah Al-Habib Umar Al-Jailani dari Makkah, Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad Al-Malibari (India), Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman Abdullah serta ramai lagi. 

Program ini merupakan kerjasama beberapa agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kefahahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, dengan dukungan Pertubuhan Kebajikan At-Taibah, Pertubuhan ISLAMI, dan pelbagai NGO lain. 

Selain daripada menjadi perhimpunan ilmu, majlis ini juga diharapkan dapat menjadi platform untuk menyemai ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Mohd Na’im turut menyeru agar seluruh lapisan masyarakat memanfaatkan peluang ini untuk mendalami khazanah ilmu Islam yang berharga. 

Dengan objektif untuk menegakkan nilai-nilai Islam yang berteraskan perpaduan, kesejahteraan, dan kemajuan, program ini selari dengan prinsip Kerajaan Madani yang dipelopori oleh Perdana Menteri.

WhatsApp
Scroll to Top