PUTRAJAYA, 16 Feb (IKIM) — Kerjasama strategik antara Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dimeterai melalui Majlis Pra-Peluncuran Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan yang berlangsung di Menara KBS hari ini sebagai usaha memperkukuh pembangunan belia secara holistik dan berteraskan nilai Malaysia MADANI.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hassan berkata kerjasama tersebut merupakan langkah signifikan dalam menyelaraskan usaha pembangunan belia yang sebelum ini dilaksanakan secara berasingan.
Menurut beliau, pelbagai program pembangunan anak muda telah dilaksanakan oleh pihak Hal Ehwal Agama, namun penggabungan kepakaran, infrastruktur dan sumber bersama KBS akan memperkukuh agenda tersebut secara lebih menyeluruh.

Beliau menegaskan bahawa inisiatif ini bukan sahaja memberi fokus kepada pembangunan belia Islam melalui institusi masjid, malah turut membuka ruang memperkukuh hubungan dan pembinaan sahsiah belia merentasi latar agama dan kaum demi keharmonian negara.Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohd Taufiq Johari berkata program ini mengiktiraf peranan masjid sebagai pusat ilmu, kerohanian dan institusi sosial yang inklusif dalam membentuk generasi muda berkualiti.
“Masjid bukan sekadar tempat ibadah, tetapi institusi penting untuk melahirkan belia yang berdisiplin, berilmu dan berjati diri sebagai pelapis kepimpinan masa depan negara,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kerjasama strategik ini menggabungkan program kerohanian daripada pihak Hal Ehwal Agama dengan program pembangunan kepimpinan belia oleh KBS bagi melahirkan generasi pemimpin masa depan yang lebih berkualiti.Pendekatan ini juga akan diperluas kepada rumah ibadat lain seperti tokong, kuil, wat dan gereja bagi memastikan pembangunan sahsiah belia dilaksanakan secara inklusif merentasi kaum dan agama.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, orang ramai dijemput menyertai program Jom Buka Bersama yang akan berlangsung pada 22 Februari 2026 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri. Program berbentuk santai itu bertujuan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan belia pelbagai latar belakang melalui konsep berbuka puasa dan piknik bersama.
Majlis turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua kementerian sebagai komitmen memperkasa agenda pembangunan belia negara secara kolektif dan berterusan.

Turut hadir mewakili Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ialah Dr. Nik Roskiman Abdul Samad, Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik IKIM.





