MAJLIS KHATAM AL-QURAN & IFTAR KASIH MALAYSIA 2024

Putrajaya, 29 Mac (IKIM) – Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH Malaysia) mengadakan Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar KASIH MALAYSIA 2024 bagi menyantuni 250 kaum wanita di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya hari ini.

Majlis yang bermula dari 4:00 petang itu dimulai dengan tadarus Al-Quran, solat Asar berjemaah diikuti dengan tazkirah sebelum berbuka puasa secara ringkas dan solat maghrib berjemaah sebelum disambung dengan majlis berbuka puasa.

Pengerusi KASIH Malaysia, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail dalam ucapannya berkata bersempena dengan sambutan Hari Wanita baru-baru ini beliau sangat berbangga dengan dengan kaum wanita di Malaysia yang serba boleh dan tidak ketinggalan.

Beliau mengingatkan kepada semua yang hadir bahawa setiap manusia Allah jadikan berlainan maka sikap toleransi perlu ditujunkkan bukan sahaja kepada sesama Islam tetapi paling penting kepada bukan Islam supaya tidak timbul rasa kebencian atau salah faham antara sesama manusia.

Sementara itu Timbalan Pengerusi KASIH Malaysia, Datin Seri Azlin Hj Hezri berkata majlis iftar ini merupakan acara tahunan dan kali ini majlis memberi fokus kepada 250 ahli NGO sama ada penjawat awam atau swasta yang terdiri dari kaum wanita, penerima sumbangan serta media bagi beramah mesra bersama dengan isteri Perdana Menteri sendiri danisteri-isteri menteri yang hadir.

Pada majlis ini juga turut diagihkan sumbangan buah tangan daripada Tenaga Nasional Bhd., Bakul Rahmah daripada Yayasan Food Bank Malaysia, barangan keperluan harian dan wang tunai daripada Pasaraya Darussalam, Al-Quran dan kurma daripada Kedutaan Arab Saudi, wang tunai daripada Pejabat Parlimen Kuala Selangor dan Klinik Anda 24 Jam dan Buku Ramadan daripada AsSafinah Educare Sdn. Bhd. kepada penerima terdiri daripada Pertubuhan Kebajikan Warga Desa Hulu Selangor, Pertubuhan Sayang wanita Shah Alam, Parlimen Hulu Langat, Kota Raja dan Sepang.

IKIMfm turut dijemput ke majlis ini yang diwakili Pengurus Berita Radio, Maslina Alias dan Penerbit Rancangan Kanan, Mona Jasman.

KASIH Malaysia dianggotai oleh isteri kepada anggota Kabinet seperti Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri yang menerajui kerajaan kini dengan matlamat penubuhan adalah bagi mengeratkan silaturahim dan semangat perkenalan antara ahlinya; menggembleng tenaga dan daya usaha ahli untuk kebajikan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama atau keturunan serta mana-mana pihak yang memerlukan sama ada di dalam atau luar negara.

Scroll to Top