ISU TAKFIRI, PEMIKIRAN KHAWARIJ BAHARU DAN PENGGUNAAN PERKATAAN KAFIR

KUALA LUMPUR, 1 April (IKIM) — Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar menyatakan gelombang pemikiran khawarij baharu dan takfiri di Malaysia berada pada tahap membimbangkan.

               Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil hari ini berkata pemikiran khawarij baharu adalah menjatuhkan mana-mana pemerintah yang dilabelkan sebagai zalim manakala takfiri pula merujuk kepada tuduhan mengkafirkan orang lain dengan mudah.

               Mohamed Azam berkata Golongan keterlaluan atau melampau (ghuluw) ini menerapkan kefahaman ekstrem dalam memahami dan mengambil sesuatu tindakan dan sikap Ghuluw dalam beragama adalah sikap melampau batas dalam perintah agama.

               Beliau berkata IKIM senada dengan usaha kerajaan yang senantiasa memantau pengajaran agama Islam di semua platform supaya tidak menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

               “Hal ini juga selaras dengan keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 5 Mei 1996 bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan ASWJ dari segi akidah, syariah dan akhlak.            

Kajian Piagam Harmoni Malaysia (PHM) yang sedang dijalankan oleh pihak IKIM juga, terdapat perkara-perkara ditekankan ke arah usaha mewujudkan masyarakat harmoni yang memerlukan kerjasama setiap masyarakat Malaysia.”              

Justeru katanya pendekatan hidup dalam keadaan aman dan damai seperti ditekankan dalam Fiqh al-Ta’ayush (peaceful co-existence) hendaklah diterapkan dalam semua lapisan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya.

Scroll to Top