Putrajaya, 11 Nov (IKIM) – Majlis Samaa’ Hadis Imam Al-Bukhari Peringkat Antarabangsa telah dilancarkan semalam dengan kehadiran para ulama dari pelbagai negara, termasuk Indonesia, Syria, Mesir, India, dan Tunisia sebagai tanda kesatuan dan persaudaraan dalam kalangan umat Islam antarabangsa.
Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata program yang julung kalinya diadakan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ini bagi mengangkat majlis-majlis ilmu seperti digagaskan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam agenda Membangun Malaysia Madani.
“Saya berharap program ini dapat menjadi asas untuk memperkukuhkan lagi hubungan persaudaraan dan kesatuan dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia.”
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Samaa’ Hadis Imam Al-Bukhari Peringkat Antarabangsa di Masjid Putra, di sini malam tadi.
Beliau dalam ucapannya berharap agar Malaysia dapat menjadi contoh negara Islam yang mementingkan perpaduan, kemajuan, dan toleransi. Sikap kesederhanaan dan kebijaksanaan dalam menyingkap perbezaan pandangan turut ditekankan sebagai prinsip penting dalam mewujudkan masyarakat Islam yang harmoni.
“Dalam usaha membina sebuah masyarakat yang makmur, kita hendaklah mengambil contoh daripada peribadi Nabi Muhammad SAW yang telah berjaya membina masyarakat Islam yang berlandaskan keadilan dan kebajikan,” ujar beliau.
Beliau dalam pada itu berkata agama Islam sangat menekankan kepentingan ilmu, baik dalam aspek rohani mahupun duniawi, dan ia adalah asas pembinaan tamadun manusia. Kehadiran para ulama dari pelbagai negara mencerminkan komitmen kita untuk menjaga dan menghargai warisan ilmu Islam.
“Kita sama-sama ambil peluang sempena majlis ini agar Allah berikan kita kekuatan dan kesatuan dengan kehadiran ulama bersama kita serta ambil peluang dengan kehadiran mereka dengarkan hadis dan syarah hadis. Semoga diberikan ilmu pengetahuan yang mendalam dan satukan hati kita dan setiap pekerjaan yang kita lakukan untuk mendapat rahmat dari Allah SWT,” tambah beliau.
Program yang berlangsung selama 12 hari ini menghimpunkan ilmuan dari pelbagai negara diharap menjadi inspirasi untuk dialog dan kerjasama yang berterusan di kalangan ulama demi perpaduan umat Islam.
Pada majlis tersebut hadirin diberikan tausiyah oleh Al-Allamah Sheikh Dr. Yusri Jabr Al-Hasani dengan perkongsian tajuk “Madkhal Sahih Al-Bukhari”.
Usai majlis berkenaan, Mohd Na’im bersama lebih 1,000 jemaah menunaikan solat hajat untuk mendoakan kejayaan misi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mewakili Malaysia pada Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi esok.
foto : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)