MAIWP SUMBANG AMBULANS BERNILAI RM450,000 KEPADA IPR

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (IKIM) – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menyumbangkan sebuah ambulans bernilai RM450,000 kepada Institut Perubatan Respiratori (IPR), Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa kebajikan kesihatan untuk golongan asnaf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata sumbangan ini diharap dapat membantu memudahkan urusan memindahkan pesakit dari IPR ke HKL. 

“Sifat ihsan yang diterjemahkan MAIWP bukan sekadar bantuan kepada individu, malah turut meliputi sokongan terhadap institusi yang memainkan peranan menyelamatkan nyawa seperti IPR,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Ambulans kepada IPR, di sini hari ini.

“Sumbangan kepada institusi seperti IPR ini sangat penting kerana mereka membantu menyelamatkan nyawa pesakit-pesakit yang ada di hospital,” tambah beliau. 

Turut hadir Pengerusi MAIWP, Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Pengarah IPR, Dr. Dr Nurhayati Mohd Marzuki; Pemangku Ketua Pegawai Eksektif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Haji Yahya dan Hakim Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Antarabangsa dari Jordan, Dr Samih Ahmed Khaled Athamneh.

Sumbangan ambulans ini merupakan antara inisiatif di bawah Kluster Perubatan dalam strategi agihan zakat MAIWP yang merangkumi 38 skim bantuan.

Sebanyak RM1.85 juta telah diagihkan kepada 14 institusi kesihatan bagi tahun 2025, termasuk hospital dan pusat perubatan. 

MAIWP turut menyalurkan sumbangan berupa bas coaster bernilai RM229,000 bagi kemudahan pesakit dan waris di HKL.

Mohd Na’im sebelum itu turut turut menziarahi tiga keluarga asnaf di Flat Taman Segambut dan Kuarters Jalan Dutamas bagi menyantuni mereka secara langsung.

“Setakat ini, lebih 30,000 asnaf menerima bantuan melalui pelbagai skim termasuk kebajikan, perubatan dan pendidikan. Ada yang menerima bantuan bulanan, bayaran sewa rumah, malah peralatan perubatan,” jelasnya.

MAIWP komited untuk meneruskan pendekatan menyeluruh dalam membantu golongan asnaf agar mereka turut mendapat akses kepada keperluan asas termasuk kesihatan dan pendidikan.

WhatsApp
Scroll to Top