PETALING JAYA, 12 Jun 2025 – Bintang muzik rohaniah antarabangsa, Maher Zain, bakal kembali memukau peminat di Asia Tenggara menerusi Konsert Jelajah Asia Tenggara 2025 selepas enam tahun tidak tampil secara langsung di Malaysia. Konsert yang dinanti-nantikan ini akan menyaksikan Maher Zain membuat persembahan di Kuala Lumpur, Singapura, dan Kota Kinabalu pada Ogos nanti.
Pengumuman rasmi dibuat dalam satu sidang media pada Rabu oleh Yayasan Tengku Abdullah (YTA) selaku penganjur utama. dengan dihadiri Maher Zain yang kini berada di Turki secara maya menerusi sidang video.
“Malaysia merupakan bab yang sangat penting dalam kerjaya saya, mungkin lebih signifikan berbanding mana-mana negara lain di dunia,” ujar Maher dalam sesi tersebut, menggambarkan hubungan istimewanya dengan para peminat di negara ini.
Konsert kali ini merupakan penampilan sulung Maher di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu sejak pandemik COVID-19 melanda.
Jelajah terakhir beliau di Malaysia pada 2019 mendapat sambutan hangat dengan tiket habis dijual dalam masa beberapa hari, membuktikan popularitinya sebagai ikon muzik rohaniah global.
Maher dijadualkan mengadakan persembahan pada:
- 16 Ogos 2025 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur
- 21 Ogos 2025 di The Star Theatre, Singapura
- 23 Ogos 2025 di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu
Jualan tiket pra-daftar akan dibuka pada 12 Jun 2025 (12:00 tengah hari hingga 11:59 malam), manakala jualan tiket awam akan bermula pada 13 Jun 2025, 12:00 tengah hari dengan harga tiket bermula dari RM158 untuk konsert di Malaysia dan SGD78 bagi lokasi di Singapura.

Konsert ini bukan sekadar persembahan muzik, malah membawa mesej perpaduan, harapan dan nilai kemanusiaan, selaras dengan misi YTA dalam mempromosikan seni dan nilai-nilai murni.
“Konsert ini bukan sahaja tentang hiburan, tetapi juga untuk menyebarkan mesej kasih sayang, kecekalan dan harapan yang melangkaui pentas,” kata Dr. Mohd Afiq Farhan Md Hanif, wakil pengurusan kanan YTA.
Penonton bakal disajikan dengan gabungan lagu klasik kegemaran seperti “Insha Allah,” “Baraka Allahu Lakuma,” dan “Thank You Allah,” serta karya terbaharu seperti “Qalbi Fil Madinah” dan “Rahmatun Lil’Alameen.”
Dengan lebih 8 juta pengikut di Instagram dan 6.2 juta pendengar bulanan di Spotify, Maher Zain kekal sebagai suara penting dalam dunia muzik rohaniah kontemporari.
Konsert ini turut direalisasikan dengan sokongan daripada pelbagai rakan strategik termasuk ERA FM, SINAR, ZAYAN, SYOK, Seismik, World of Buzz, dan Lobak Merah manakala Hitman Solutions dan Happymoon bertindak sebagai penganjur rasmi, dengan kerjasama Awakening Music.
Peminat dari pelbagai latar belakang dijangka hadir bagi menghidupkan suasana penuh inspirasi ini bermula dari anak muda, keluarga, hingga generasi yang membesar dengan lagu-lagu Maher Zain yang kerap berkumandang di majlis perkahwinan dan sambutan perayaan.
Konsert ini dijangka menjadi momen istimewa buat ramai, menandakan kembalinya sebuah suara yang membawa harapan dalam setiap bait lagunya.