TANJONG MALIM, 30 Julai (IKIM) – Majlis Hal Ehwal Islam Institut Pengajian Tinggi Malaysia (MAHEIS) komited memperkukuh peranan Pusat Islam di institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai pemangkin pembangunan sahsiah mahasiswa dalam mendepani pelbagai cabaran sosial yang semakin kompleks.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata, pembangunan karakter mahasiswa perlu menjadi agenda utama memandangkan institusi pengajian tinggi kini berdepan pelbagai isu sosial yang memerlukan pendekatan lebih proaktif dan bersepadu.
Menurut beliau, Pusat Islam di IPT tidak lagi boleh sekadar berperanan menganjurkan program berbentuk pengisian keagamaan, sebaliknya perlu menjadi rakan strategik kepada pihak pengurusan universiti dalam membimbing serta membentuk sahsiah mahasiswa.

“Peranan kita amat besar dalam menangani cabaran yang dihadapi mahasiswa hari ini, termasuk gejala sosial dan pelbagai pengaruh yang boleh menjejaskan tumpuan mereka terhadap pengajian.
“Pusat Islam perlu lebih aktif mendekati mahasiswa serta melaksanakan usaha dakwah secara berterusan supaya mesej yang disampaikan benar-benar memberi kesan kepada golongan sasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam MAHEIS yang berlangsung di Dewan Muallim Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI, di sini.

Norkhalid turut menegaskan bahawa antara isu yang perlu diberi perhatian ialah trend hubungan bersifat eksploitasi seperti sugar daddy serta peningkatan kes penyakit jangkitan seksual yang dilaporkan berlaku dalam kalangan mahasiswa di beberapa universiti.
Katanya, cabaran tersebut memerlukan kerjasama erat antara pihak pengurusan universiti dan Pusat Islam bagi melaksanakan program pencegahan, pendidikan serta bimbingan yang lebih berkesan.
“Sebagai universiti pendidikan, UPSI memikul tanggungjawab besar melahirkan bakal pendidik negara yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki adab dan akhlak mulia bagi membentuk generasi masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif MAHEIS merangkap Pengarah Pusat Islam Universiti Putra Malaysia (UPM), Zuhaimi Abdul Rahim berkata, MAHEIS bakal menganjurkan Muktamar Kepimpinan Muda Masjid MADANI pada Oktober depan yang dijangka menghimpunkan kira-kira 150 pemimpin pelajar yang menggerakkan institusi masjid di universiti seluruh negara.
Beliau berkata, MAHEIS turut merancang pelaksanaan program dakwah dan khidmat komuniti di Sabah pada tahun hadapan selain meneruskan program antarabangsa seperti International Community Outreach Programme (ICOP) bagi memperluas jaringan kerjasama dan perkongsian pengalaman dalam kalangan warga Pusat Islam IPT.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Pusat Islam UPSI, Muhammad Tarmizi Abdul Rahman berkata, UPSI berbesar hati menjadi tuan rumah penganjuran program MAHEIS kali ini yang menghimpunkan 80 delegasi daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara.
Program selama dua hari itu turut diisi dengan Mesyuarat Pengarah-Pengarah Pusat Islam IPT, aktiviti riadah seperti berkayak serta pertandingan boling yang bertujuan mengukuhkan ukhwah dan mempererat jaringan kerjasama antara warga Pusat Islam IPT di Malaysia.




