KUALA PILAH BERMUNAJAT SATUKAN UMMAH

Oleh: Muhammad Suhairi Fakri

KUALA PILAH, 30 Julai (IKIM) – Program Kuala Pilah Bermunajat yang berlangsung di Masjid Jamek Yamtuan Raden malam tadi menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam satu majlis kerohanian yang bertujuan memperkukuh perpaduan ummah serta mendoakan kesejahteraan negara, khususnya Negeri Sembilan.

Majlis yang dihadiri Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud itu turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Puan Marhamah Rosli.

Program dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat sebelum diteruskan dengan solat Isyak serta solat hajat berjemaah bagi memohon keberkatan, keamanan dan kesejahteraan buat negara.

Menurut Senator Dr. Zulkifli Hasan, penganjuran program seumpama itu menjadi medan untuk menyatukan rakyat melalui penghayatan nilai-nilai Islam yang menekankan keamanan, kasih sayang dan kebersamaan.

“Kita memohon kepada Allah S.W.T agar negara kita, khususnya Negeri Sembilan, dikurniakan keberkatan, kerahmatan, keamanan dan kedamaian,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran masyarakat daripada pelbagai lapisan termasuk golongan belia, warga emas, agensi agama dan jabatan kerajaan membuktikan semangat kebersamaan dalam mengimarahkan institusi masjid serta menyuburkan budaya bermunajat kepada Allah SWT.

“Mesej yang kita bawa ialah mesej menyebarkan salam, mesej keamanan dan kita mahu menanamkan kasih sayang sesama masyarakat,” tambah beliau.

Mengulas mengenai kesinambungan program kerohanian itu, beliau mengajak orang ramai untuk hadir ke Program Kuala Pilah Berselawat yang akan diadakan pada 30 Julai sebagai usaha membudayakan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

“Malam ini kita bermunajat, esok kita berselawat. Semoga budaya berselawat yang kita suburkan ini akan membawa kerahmatan dan keberkatan kepada negara kita,”katanya.

Program Kuala Pilah Bermunajat merupakan antara inisiatif YADIM dalam memperkukuh penghayatan Islam menerusi pengisian rohani yang menghimpunkan pemimpin, institusi agama dan masyarakat bagi memupuk perpaduan serta memperkasakan nilai ihsan dalam kehidupan bermasyarakat.

WhatsApp
Scroll to Top