MAHASISWA PERLU KUKUHKAN AKHLAK & KEMAHIRAN INSANIAH – MOHD NA’IM

GOMBAK, 3 Ogos (IKIM) – Mahasiswa perlu memiliki nilai-nilai seperti ikhlas, amanah, istiqamah dan berilmu agar menjadi generasi al-Falah yang berwibawa dan dihormati.

Demikian menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penutupan Perkampungan Menara Gading (PMG) MADANI 2025, di sini hari ini.

Beliau turut menyeru para mahasiswa agar membina iltizam tinggi dan terus memperjuangkan nilai kebenaran serta keadilan sepanjang tempoh pengajian.

“Mahasiswa Islam ialah intelektual muda yang menggalas misi dakwah dan pembaharuan. Bukan sekadar pewaris kuasa politik, tetapi pemimpin moral masyarakat yang menegakkan keadilan, menentang kerosakan dan membela yang tertindas,” kata beliau.

Mohd Na’im berkata, PMG MADANI berperanan sebagai tapak awal kepada perjuangan sebenar mahasiswa di kampus, dan harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk melakar hala tuju kehidupan yang bermakna dan berjasa.

Beliau dalam pada itu menggalakkan mahasiswa untuk menghayati budaya ilmu serta meningkatkan pembacaan dalam bidang ilmiah dan isu semasa.

Selain itu, beliau menambah mahasiswa perlu aktif dalam program sosial, kemasyarakatan dan kepimpinan pelajar, dengan menajamkan keupayaan memimpin secara praktikal. 

Program anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini sebagai platform pengukuhan jati diri, kefahaman nilai Islam serta pengasahan kepimpinan mahasiswa baharu sebelum melangkah ke alam kampus secara rasmi.

Turut hadir Timbalan Rektor, Pembangunan Pelajar & Penglibatan Komuniti UIAM, Profesor Dato’ Dr. Mohamad Fauzan bin Noordin dan Presiden PKPIM, Muhammad Dzul Aiman Zulkefly. 

Foto: FB  Dato’ Setia Dr. Na’im

WhatsApp
Scroll to Top