KUALA LUMPUR, 27 Mei (IKIM) – Pavilion al-Falah yang dijayakan oleh kesemua 14 agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah berjaya dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di World Trade Center (WTC), di sini hari ini.
Mohd Na’im berkata beliau sangat meraikan penubuhan Pavilion al-Falah ini kerana ia memudahkan masyarakat untuk mengunjungi reruai buku agensi-agensi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk mendapatkan informasi dan bahan bacaan berkaitan perkhidmatan hal ehwal agama Islam.

“Kalau dulu, penyertaan agensi-agensi Menteri Agama ini merata. Kita ada buka reruai, tetapi di tingkat yang berlainan. Jadi alhamdulillah tahun ini kita ada kelainan sikit,” kata beliau sambil memuji usaha Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil selaku penyelaras bagi Agensi-agensi Di Bawah Pengurusan Hal Ehwal Agama sempena PBAKL 2025 yang turut hadir hari ini.
Tambah beliau lagi, lokasi strategik Pavilion al-Falah yang berada di aras dua berdekatan Pentas Utama WTC ini memudahkan interaksi antara agensi agama dengan pelawat untuk mengetahui dengan lebih dekat fungsi dan peranan agensi-agensi agama ini.

Majlis perasmian itu turut menyaksikan pelancaran 22 buah buku terbitan agensi-agensi tersebut termasuklah Siri Pemerihalan Dasar Kerajaan (SPEEDK) IKIM: Piagam Madinah Model Perpaduan Malaysia Madani oleh IKIM; Buku Catatan Taddabur Quran @114 Jilid 2 hingga Jilid 6 oleh TV AlHijrah; Ensiklopedia Fiqh Muamalat dan Kewangan Islam oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM); Pensijilan Farmaseutikal Halal di Malaysia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Mudahnya Wakaf! Oleh Yayasan Waqaf Malaysia.
“Insya allah, usaha untuk menghasilkan buku-buku baru akan terus digalakkan dan ditingkatkan sebab dalam konteks yang disarankan dan disebut oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, membina masyarakat Madani yang berilmu ini adalah melalui bacaan.”
“Atas dasar tersebut kita akan terus memastikan agensi-agensi agama ini memainkan peranan, menggalakkan masyarakat membina budaya membaca ini,” ujar Mohd Na’im.

Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Dr. Zulkifli Hasan; Timbalan Pengerusi IKIM Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman; Ketua Pengarah JAKIM Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Mohd Fauzi Abidin; dan Pengerusi Pengelola PBAKL Mohd Khair Ngadiron.
PBAKL 2025 ke-42 ini akan berlangsung sepanjang 23 Mei hingga 1 Jun 2025.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Pavilion al-Falah ini dari jam 10 pagi sehingga 10 malam sepanjang pesta buku berlangsung.
Wartawan : Husna Fathiyyah Mohd Fairuz