Lidah Bayangan Hati

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud \”Tidak akan lurus keimanan seorang hamba, sehingga lurus hatinya, dan tidak akan lurus hatinya, sehingga lurus lidahnya.\” Lidah, hati dan iman mempunyai kaitan antara satu sama lain dalam perlakuan dan akhlak seseorang manusia.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang disiarkan setiap hari Rabu, jam 10.30 pagi oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi di radio IKIMfm, beliau menyingkap sebuah kisah berkaitan seorang lelaki hebat iaitu Luqmanul Hakim yang dikurniakan Allah SWT kepintaran yang cukup tinggi.

Kebijaksanaan Luqmanul Hakim memberi banyak pedoman kepada umat manusia untuk mempelajari kehidupan ini dari sudut nilai keindahan berfikir dengan hati yang penuh hikmah. Bahkan setiap tindak tanduk dan akhlak luqmanul Hakim berpandukan ilmu agama yang akan membawa manusia untuk mengenal Allah SWT secara lebih dekat.

Ustaz Pahrol menjelaskan tentang sisi kebijaksanaan Luqmanul Hakim, walaupun tidak mempunyai paras rupa yang segak tetapi fikiran bernas yang luar biasa. Dalam sebuah riwayat dinukilkan tentang Luqmanul Hakim yang bekerja sebagai tukang kayu telah diminta oleh tuannya untuk menyembelih seekor kambing dan mengambil organ yang paling bagus untuk dipersembahkan kepada tuannya. Lalu lelaki yang penuh hikmah ini membawa organ binatang yang disembelih iaitu hati dan lidah.

Pada waktu yang lain, Luqmanul Hakim diminta untuk menyembelih lagi kambing dan pada kali ini diminta untuk membawa daging yang paling terburuk. Lalu Luqmanul Hakim membawa juga organ yang sama iaitu lidah dan hati.

Tindakan itu menimbulkan tanda tanya kepada tuannya kerana bagi dua permintaan yang berbeza iaitu meminta daging yang terbaik dan daging yang terburuk, namun tetap dipersembahkan dengan organ yang sama iaitu hati dan lidah.

Dalam perkara ini Luqmanul Hakim menyampaikan mesejnya secara halus dan bijak kepada umat manusia agar menggunakan hubungan lidah dan hati secara bijaksana. Ini kerana hubungan antara lidah dan hati yang begitu rapat boleh boleh menjana kebaikan atau pun keburukan jika tidak diurus dengan bijaksana.

Pengajaran lain yang dapat dikutip dari kisah di atas juga mengenai lidah dan hati yang jika digunakan pada tempat yang baik akan memberi kebaikan dan mendatangkan pahala yang besar kepada manusia. Namun jika digunakan di tempat yang salah akan memberi keburukan, bahkan mendatangkan dosa kepada seseorang manusia.

Hakikatnya lidah dan hati adalah organ yang saling berkait rapat antara satu sama lain. Jika lidah dapat dinilai atau didengar melalui kata-kata yang dikeluarkan di bibir, hati pula umpama air yang berada di dalam teko besi yang tidak seorangpun tahu akan isi kandungan air tersebut sehingga ianya dicurah ke dalam gelas. Namun lidah adalah cerminan hati yang mana lidah itu akan berkata-kata menuruti apa yang diucap melalui hati.

Bayangan hati seseorang itu akan diterjemahkan dengan lidah yang berkata-kata. Justeru bagi tutur kata yang baik ia adalah cerminan dari hati yang bersih dan baik. Begitulah sebaliknya jika kata-kata yang buruk terbukti dari hati yang busuk dan buruk.

Mengambil contoh akhlak Rasulullah SAW, Baginda tidak pernah sekalipun mengeluarkan kata-kata buruk dan kesat apatah lagi mencerca dan mengherdik dengan kata-kata yang menyakitkan. Ini terbukti bahawa baginda Rasulullah SAW mempunyai hati yang suci dan mulus sehingga kesucian hatinya dicerminkan dengan kata-katanya yang sentiasa menyenangkan.

Sesungguhnya walaupun  lidah yang dicipta sebagai organ yang lembut dan jika tersalah guna pada tempat yang tidak betul menurut panduan hadis dan al-quran, akan memakan diri sendiri. Lidah yang lembut ini sesungguhnya lebih tajam daripada mata pedang. Ini kerana lidah yang lembut itu, jika diacu dengan kata-kata yang pedas dan menyakitkan boleh mengguris hati manusia, bahkan dengan lidah yang tidak bertulang ini akan menjunamkan seseorang itu ke lembah neraka yang penuh azab.

Namun demikian lidah juga jika diguna pada tempat yang betul, menyeru kepada kebaikan dan agama Allah SWT akan membawa seseorang mukmin menjadi penghuni Allah SWT yang penuh rahmat dan kelazatan yang kekal abadi.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “yang membawa manusia ke dalam syurga adalah sifat taqwa dan kebaikan”. Lalu ditanya lagi oleh sahabat akan perkara yang membawa kepada neraka, lalu baginda bersabda “ lidah seseorang yang buruk akan membawa manusia ke dalam neraka”

Lidah juga sebenarnya boleh menggambarkan kualiti diri seseorang. Seseorang yang berpakaian cantik, kemas dan sempurna, namun jika mempunyai lidah yang kotor ianya adalah cerminan hati yang tidak bersih, Justeru orang yang berhati busuk tidak dapat membina kualiti diri yang sebaiknya. Kualiti diri seseorang adalah terletak kepada sejauh mana bersihnya hati seseorang itu. Sebab itu ada yang berpendapat, jangan dinilai seseorang itu kepada bentuk rupa fizikalnya, tetapi nilailah kepada kebersihan hatinya.

Justeru, seseorang umat Islam yang terbaik adalah mereka yang selalu bermuhasabah diri untuk memperbetulkan kesilapan diri dari semasa ke semasa. Cara yang paling wajar untuk memperolehi hati yang bersih dan kata-kata yang baik adalah bergaul dengan mereka yang baik disamping sentiasa meningkatkan kualiti diri melalui panduan al-Quran dan al-hadis agar diri sentiasa terbimbing ke jalan yang diredhai Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 13 April 2016
\"2016-04-13\"
WhatsApp
Scroll to Top