LEBIH RM240 RIBU DISUMBANGKAN KEPADA HOSPITAL PUTRAJAYA MELALUI DANA WAKALAH PPZ-MAIWP

PUTRAJAYA, 17 Julai (IKIM) – Sejumlah RM247,760 dana wakalah Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ- MAIWP) disumbangkan kepada Hospital Putrajaya sebagai usaha membantu pihak hospital memeberikan rawatan terbaik kepada masyarakat, khusunya golongan asnaf. 

Sumbangan yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar itu termasuk 30 unit peralatan rawatan bernilai RM234,560 dan sumbangan pengurusan jenazah berjumlah RM13,200.

Mohd Na’im berkata ini semua adalah hasil kutipan zakat yang telah diamanahkan secara wakalah kepada Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). 

“Kita semua maklum bahawa dunia kesihatan hari ini berdepan pelbagai cabaran dari bilangan pesakit yang meningkat hinggalah keperluan kelengkapan rawatan yang semakin kompleks. Kita akan beri tumpuan yang lebih kepada segmen kesihatan, seperti yang kita berikan kepada Hospital Putrajaya,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Simbolik Serahan Wakalah Pembelian Peralatan Hospital Putrajaya, di sini hari ini. 

Beliau berharap agar pihak Hospital Putrajaya dapat memanfaatkan amanah ini sebaiknya, dan terus memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dengan penuh ihsan, kecekapan dan kasih sayang. 

Antara peralatan hospital yang disumbangkan termasuk mesin Diatermi, Defibrillator, Mesin Elektrokardiogram (ECG) dan pelbagai kelengkapan lain bagi menyokong keperluan rawatan pesakit serta menampung kos pengurusan jenazah meliputi keperluan asas seperti kafan, khidmat pengurusan dan penghantaran jenazah.

Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Haji Yahya; Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Haji Abdul Hakim Amir Osman; dan Pengarah Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya, Dr. Nor’Aishah Abu Bakar; serta Pengarah Hospital Putrajaya, Dr. Suraya Amir Husin.

WhatsApp
Scroll to Top