LAPORAN KHAS : TANGISAN ANAK-ANAK GAZA, DI MANAKAH HARAPAN MASA DEPAN?

Saat dunia meraikan Hari Kesihatan Sedunia tahun ini, 2025 dengan mengangkat tema “Permulaan Yang Sihat, Masa Depan Penuh Harapan”. Namun, menjadi persoalan, adakah ini bagi menggambarkan jagat seanteronya atau sekadar pilihan, yang mana harus diselamatkan atau yang mana perlu menjadi perisai manusia. Dibiarkan berkecai harapan mereka dek kerakusan dan kekejaman manusia. 

7 April saban tahun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengangkat tarikh ini sebagai peringatan dan kempen bagi aspek kesihatan yang sering menjadi perhatian dunia. Daripada pandemik, wabak dan segala bahaya penyakit yang mengancam nyawa manusia, WHO tidak pernah kesampingkan isu-isu kesihatan ini. Ia sering mendapat tempat untuk dibicangkan secara serius di pentas antarabangsa oleh pembuat polisi, ahli-ahli politik, mahupun oleh pakar-pakar perubatan serta gergasi farmaseutikal. 

Tema Hari Kesihatan Sedunia kali ini diangkat bagi melancarkan kempen selama setahun yang menyeru tindakan segera dan berkesan bagi memastikan setiap ibu dan bayi menerima penjagaan kesihatan yang sewajarnya. 

Ia pasti berhasil dan mudah untuk direalisasikan bagi sesetengah negara dan separuh dari bahagian dunia. Namun, ironinya dalam pada seruan menjaga kesihatan ibu dan bayi ini, masih ada warga dunia yang terus-terusan dinafikan haknya bukan sekadar untuk mendapatkan akses kesihatan yang baik, bahkan dinafikan kehidupan mereka dengan pengeboman yang terus-terusan dilakukan. 

Menurut laporan terkini daripada agensi kemanusiaan antarabangsa, lebih 15,000 kanak-kanak Palestin terbunuh sejak serangan tanpa henti dilancarkan ke atas Gaza bermula Oktober 2023. Angka ini bukan sekadar statistik, tetapi gambaran tragis tentang nasib generasi masa depan yang terancam pupus sebelum sempat membesar.

Sekurang-kurangnya 320 kanak-kanak terbunuh sejak pencabulan genjatan senjata yang tidak sampai sebulan lalu dan dianggarkan 100 orang kanak-kanak terbunuh atau tercedera setiap hari setelah pencabulan gencatan senjata dilakukan oleh Israel tanggal 18 Mac lalu. 

Angka-angka ini terus menunjukkan peningkatan kekejaman dan hilangnya peri kemanusiaan apabila dilaporkan sejak perang yang tercetus lebih 18 bulan itu, Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF) merekodkan lebih 34,000 kanak-kanak cedera dan hampir 1 juta dari mereka hilang tempat tinggal. 

Adakah kerana mereka rakyat Palestin, maka hak dan peluang untuk mereka hidup terus dinafikan. Mana mungkin kita mampu berikan mereka masa depan penuh harapan sekiranya mereka dinafikan hak untuk sebuah kehidupan, apatah lagi merasa peluang untuk hidup dengan sihat dan peluang kepada akses pendidikan. 

Menurut agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA), bukan setakat itu sahaja, bahkan sekatan berterusan Israel terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan telah memberi kesan yang memusnahkan terhadap kanak-kanak di Semenanjung Gaza yang dilanda konflik. 

UNRWA dalam satu kenyataan berkata sekatan yang dikenakan Israel sejak lebih lebih lima minggu menggantung kemasukan bantuan dan bekalan komersial ke Gaza.

“Air bersih, makanan, tempat perlindungan dan rawatan perubatan semakin sukar diperoleh. Maka, kesan terhadap kanak-kanak amat dahsyat,” menurut UNRWA. 

Sejak 2 Mac lalu, Israel menutup lintasan sempadan Gaza dan menyekat kemasukan bekalan penting termasuk makanan, air dan ubat-ubatan, memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sudah merosot di wilayah itu.  

“Di utara Gaza, kanak-kanak tidak mencari mainan atau pensel mereka, tetapi bekalan air demi kelangsungan hidup”. “Mereka tidak bergerak ke sekolah, tetapi menolak kereta sorong demi mendapatkan sesuatu bagi menghilangkan dahaga mereka.”  

Bukan sekadar itu, Sejak Perang Israel terhadap Gaza 7 Oktober, 1100 kanak-kanak telah ditahan oleh Israel sebagai tahanan perang, dalam keadaan yang sangat zalim sehingga menyebabkan penderitaan dan malangnya seorang remaja 17 tahun, Walid Ahmad, dari bandar di Ramallah, mati di penjara Megiddo di Israel. 

Ini sekadar satu nama yang menggambarkan penderitaan lebih 1 juta kanak-kanak yang terancam ekoran jenayah oerang yang dilakukan oleh zionis Israel. 

Inikah yang dunia perjuangkan, dalam satu sisi – memberi peluang kepada permulaan yang sihat dan masa depan penuh harapan melalui sambutan Hari Kesihatan Sedunia, sedangkan satu sisi dunia ini, tenat dengan anak-anak mereka terpaksa hidup merana dan dibiarkan menjadi perisai manusia. 

Sekalipun mereka dibenarkan hidup dan terselamat dari mata-mata peluru berpandu Israel, kesan perang dan trauma yang berpanjangan sudah semestinya menjejaskan kehidupan mereka. 

Apakah nilai kehidupan bagi kanak-kanak Palestin berbanding kanak-kanak lain di dunia? 

WhatsApp
Scroll to Top