KUMPULAN JEMAAH HAJI PERTAMA SELAMAT TIBA DI TANAH AIR

SEPANG, 15 Jun 2025 – Musim Haji 1446H/2025M memasuki fasa kedua apabila kumpulan pertama jemaah haji Malaysia selamat tiba di tanah air pada jam 8.10 malam tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Seramai 283 jemaah dari Kedah dan Selangor tiba dengan penerbangan khas AMAL by Malaysia Airlines (MH 8251) dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah pada jam 5.40 pagi waktu Arab Saudi dengan disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar; Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Haji Mustakim Mohamad.

Mohd Na’im menzahirkan penghargaan kepada semua barisan pengurusan dan warga kerja TH yang terlibat dalam menjayakan operasi haji tahun ini sama ada di Tanah Air mahupun di Tanah Suci.

“Alhamdulillah, operasi haji tahun ini berjalan dengan lancar. Kita ucapkan tahniah kepada Tabung Haji, terutamanya Pengerusi TH, CEO TH, Ketua Rombongan Haji serta warga kerja TH yang telah bekerja keras dalam memastikan kelancaran serta keselamatan jemaah haji sehingga selesai menunaikan haji dan kembali ke Tanah Air”, katanya.

Beliau turut berkongsi kejayaan TH dalam menyelaras penghantaran jemaah Malaysia ke Arafah, termasuk mereka yang uzur melalui program Safari Wuquf yang menggunakan lapan buah bas khas bagi membawa 95 jemaah uzur ke Arafah bagi menunaikan ibadah penting itu.

“Dengan adanya Safari Wuquf ini membolehkan kesemua jemaah haji yang uzur berada di Arafah dan menyempurnakan Rukun Haji, iaitu berada di Arafah dan program ini akan diteruskan pada tahun hadapan”, katanya.

Mohd Na’im berkata walaupun berdepan cabaran seperti cuaca panas dan ruang khemah yang terhad di Mina, TH berjaya melaksanakan penambahbaikan penting termasuk menambah kemudahan tandas dan ruang simpanan barangan bagi memastikan operasi Masyair berjalan dengan lebih tertib.

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines untuk membawa pulang kesemua 31,600 jemaah Malaysia, bermula 14 Jun sehingga penerbangan terakhir pada 10 Julai ini.

WhatsApp
Scroll to Top