DALAM rancangan Tarbiyyah di radio IKIMfm pada hari Jumaat jam 10 pagi, Professor Madya Dr. Syarifah Hayaati Syed Ismail membicarakan tajuk “Korban dan Pengorbanan”. Kehadiran kita ke majlis-majlis ilmu itu juga merupakan lambang kepada pengorbanan kecil kita meluangkan sedikit masa untuk menuntut ilmu sedangkan masa tersebut boleh kita gunakan untuk berehat santai seperti menonton televisyen. Hari ini kita bukan sahaja berada pada hari yang mulia iaitu pada hari Jumaat, tetapi juga mulia kerana termasuk dalam 10 hari dalam bulan Zulhijjah di mana ayat al-Qur’an dalam Surah al-Fajr yang bermaksud: “demi waktu fajr, dan demi sepuluh malam” (al-Fajr 1-2) pada pandangan kebanyakan ulama sepuluh malam itu merujuk kepada sepuluh malam di bulan Zulhijjah. Apabila tiba bulan Zulhijjah, kita sering teringat kepada mengerjakan ibadah haji atau ibadah penyembelihan korban, dan juga sambutan Hari Aidha. Namun kini, apabila kita bercakap tentang Zulhijjah ia tidak lagi merujuk kepada ketiga-tiga perkara ini seperti sebelum ini, tetapi kesedaran telah timbul 10 Zulhijjah itu merujuk kepada pengorbanan yang sepatutnya kita lakukan. Paling mudah untuk kita berkorban ialah berkorban masa.
Bulan Zulhijjah tidak disebut dengan jelas dalam al-Qur’an sepertimana bulan bulan Ramadan. Di bulan Ramadan disebut dengan jelas seperti dalam ayat 185 Surah al-Baqarah yang bermaksud: “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, Maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), Maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur. (QS. Al Baqarah 185).
Namun, bulan Zulhijjah disebut sebagai salah satu daripada empat bulan-bulan haram dalam Islam sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud “Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belasbulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya; dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.” (QS : At Taubah(9):36).
Melalui hadith Sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, Baginda SAW menjelaskan empat bulan haram tersebut ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Apakah yang dimaksudkan dengan bulan Haram? Ia adalah bulan yang diharamkan peperangan dan persengketaan. Diharamkan kita menganiaya makhluk lain. Ia adalah bulan keamanaan, tiada sengketa, tiada peperangan. Sebab itu mereka yang dalam ihram dilarang membunuh binatang, tidak boleh memetik daun pokok dan lain-lain. Dalam konteks kehidupan kita seharian pula ialah bulan Zulhijjah ini mendidik kita agar mewujudkan bulan persaudaraan, tiada sengketa, tiada permusuhan dan sebarkan kasih sayang.
Dalam kitab Lata’iful Ma’arif, Abdullah bin Abbas RA menyebut bahawa dijadikan dosa yang sangat besar bagi mereka yang melakukan perkara haram di bulan-bulan haram tersebut, manakala jika dilakukan amalan-amalan soleh maka ganjarannya pula lagi lagi besar. Bulan ini mengajar dan mendidik kita agar menjadi hamba Allah yang soleh, walaupun kita tidak mengerjakan haji, atau tidak menyembelih binatang korban namun masih banyak amalan soleh yang boleh dilakukan termasuk memberi salam, bersalaman dengan orang di sebelah kita, atau jiran kita, paling kurang.
Bagi kita yang belum berkesempatan mengerjakan haji pada tahun ini, maka hendaklah kita memperbanyakkan doa memohon agar Allah SWT memilih kita pada tahun akan datang menjadi tetamu Allah (duyufur rahman). Di samping itu, kita terus berdoa kepada Allah SWT agar memudahkan urusan haji kepada saudara-saudara kita di Tanah Suci. Inilah pengorbanan kita buat masa ini.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 1 September 2017