KUALA LUMPUR, 29 April (IKIM) – Usaha memperkukuh kesejahteraan insan secara holistik terus diperkasa menerusi penganjuran Konvensyen Kesejahteraan Spiritual dan Psikologi Komuniti serta Persidangan Meja Bulat Hala Tuju Kesejahteraan Psikospiritual dalam Komuniti 2026 oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA.

Program yang berlangsung di Mercure Hotel Selayang itu menghimpunkan pakar pelbagai bidang bagi membincangkan keperluan semasa serta hala tuju pembangunan psikospiritual negara.
Konvensyen tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Marhamah Rosli yang menegaskan bahawa kesejahteraan psikospiritual perlu diiktiraf sebagai komponen penting dalam pembangunan negara MADANI.

Dalam ucapannya, beliau berkata program berkenaan memberi impak besar bukan sahaja kepada kepimpinan negara dan agensi, malah turut menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan masyarakat.
“Selama ini kita sering memberi tumpuan kepada krisis yang bersifat fizikal, namun krisis dalaman seperti kesihatan mental dan kecelaruan emosi semakin membimbangkan dalam masyarakat,” katanya.
Beliau menyifatkan inisiatif IKIM dan UiTM sebagai langkah penting dalam merapatkan jurang dalam bidang psikologi dan spiritual, sekali gus memenuhi keperluan mendesak merentasi pelbagai peringkat termasuk pekerjaan, komuniti, keluarga dan individu.
“Walaupun kita mempunyai ramai pakar dalam bidang ini, penganjuran konvensyen seperti ini dapat menyatukan kepakaran tersebut dan menyediakan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam menangani isu psikospiritual,” katanya.
Menurut beliau, hasil perbincangan dalam konvensyen dan persidangan meja bulat itu diharap dapat diterjemahkan dalam bentuk dasar atau polisi yang boleh dijadikan panduan bersama.
“Ia penting supaya sebarang isu berkaitan psikologi dan kemanusiaan yang sering tidak kelihatan ini dapat ditangani secara lebih tersusun dan berkesan pada masa hadapan,” katanya.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof bin Hj. Othman; Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil; Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin; Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd Zaidi Ismail; serta Dr. Muhammad Hisyam Mohamad, Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan.
Dalam pada itu, program yang diselaraskan oleh En. Khairul Azhar Idris, Felow di Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan IKIM ini turut diisi dengan sesi pembentangan kertas kerja oleh pakar tempatan dan antarabangsa yang menyentuh aspek penjagaan spiritual merentasi sektor komuniti, peranan agensi agama serta pengukuhan perkhidmatan awam dalam bidang psikospiritual.

Tiga fokus utama dicadangkan bagi memperkukuh ekosistem psikospiritual negara iaitu standardisasi kompetensi melalui latihan dan pensijilan, integrasi sistem antara hospital, institusi agama dan komuniti serta pembangunan polisi bagi mengiktiraf psikospiritual sebagai komponen kesejahteraan nasional.

Penganjuran program ini dilihat sebagai platform strategik dalam merangka dasar serta memperkukuh amalan penjagaan spiritual klinikal berakreditasi di Malaysia.
Secara keseluruhannya, konvensyen ini menjadi langkah penting ke arah membina masyarakat yang lebih sejahtera, berperikemanusiaan dan berteraskan nilai ihsan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.




