KONVENSYEN PENGUATKUASAAN SYARIAH BERI TUMPUAN ISU HINA AGAMA DAN AJARAN SESAT

KUALA LUMPUR, 28 Okt (IKIM) – Kesalahan menghina agama dan penyebaran ajaran sesat dalam talian menjadi tumpuan dalam Konvensyen Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Peringkat Wilayah Persekutuan 2025. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata, konvensyen yang menghimpunkan pakar undang-undang dan penguatkuasa ini menjadi medan pertukaran idea, pandangan serta pengalaman dalam memperkasa penguatkuasaan undang-undang syariah di Wilayah Persekutuan. 

“Kemajuan teknologi kini menjadikan jenayah syariah boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, termasuklah melalui media sosial. Ini menuntut kita untuk mengambil langkah proaktif bagi memastikan perundangan jenayah syariah kekal relevan untuk dikuatkuasakan seiring dengan perkembangan semasa,” kata beliau. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Peringkat Wilayah Persekutuan 2025 di sini hari ini. 

Konvensyen yang mengangkat tema “Syariah Dilestari, Ummah Madani Rabbani” ini menghimpunkan 200 peserta terdiri daripada Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), serta wakil pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Mufti dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan beberapa jabatan persekutuan serta negeri 

Selain itu, konvensyen turut membincangkan isu pengajaran agama tanpa tauliah di media sosial, kes ‘orang ketiga’ dalam rumah tangga atau penyondol, serta penggunaan alat pengesan alkohol (alkometer) bagi kesalahan minuman memabukkan di bawah undang-undang syariah.

Penganjuran ini juga sejajar dengan teras “Kemuliaan Syariah” di bawah Pelan Transformasi Al-Falah, sebagai usaha berterusan untuk memartabatkan perundangan dan kehakiman Islam di Malaysia.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Hanifuddin Roslan; Ketua Polis Kuala Lumpur Dato’ Fadil Haji Marsus; dan Ketua Hakim Syarie/Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Dato’ Haji Mohd Amran Mat Zain.

WhatsApp
Scroll to Top