KUALA LUMPUR, 25 Mei (IKIM) — Semangat luar biasa dan bakat hebat anak-anak FELDA bakal bergema di pentas antarabangsa apabila seramai 53 pelajar Maktab Rendah Sains MARA FELDA (MARESMAF), termasuk 39 orang anak peneroka, akan mewakili Malaysia dalam pertandingan orkestra berprestij 26th International Festival Wind Orchestra yang bakal berlangsung pada 20 dan 21 Jun ini di Prague, Republik Czech.
Menurut Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek Festival muzik yang memasuki edisi ke-26 itu menghimpunkan pasukan orkestra terbaik dari 11 buah negara, termasuk negara-negara Eropah seperti Austria, Jerman dan Switzerland. Republik Czech selaku tuan rumah, bakal menjadi saksi kebolehan anak Malaysia mengalunkan muzik penuh jiwa dari desa ke dunia.
Ahmad Shabery berkata lebih membanggakan, majoriti peserta yang mewakili negara adalah pelajar luar bandar yang membesar di tanah rancangan FELDA dan membuktikan bahawa bakat seni tidak mengenal asal-usul atau lokasi.

Beliau berkata kejayaan ini bukan sekadar tentang muzik, tetapi simbol kepada usaha berterusan FELDA dalam melahirkan generasi muda berketerampilan melalui pendekatan pendidikan menyeluruh yang merangkumi pembangunan akademik, sahsiah dan seni.
“Bila anak-anak ini ke Prague, ini adalah sesuatu yang luar biasa kerana kebanyakan mereka datang dari kampung, cucu-cucu peneroka yang asalnya tidak faham pun tentang muzik atau nota muzik. Mereka ni pertama kali pegang alat muzik, tapi sekarang kita sudah berjaya melahirkan anak-anak yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Ini memang luar biasa, sekarang mereka berjaya bermain alatmuzik mengikut nota dan nada yang diperlukan, sangat merdu dan membanggakan,” katanya pada sidang media Konsert Desaku Mendunia di Hotel Seri Pacific, hari ini.
Penyertaan mereka ini adalah hasil latihan intensif, sokongan moral komuniti dan keyakinan tinggi untuk menjadikan bakat sebagai jambatan ke pentas dunia.
Bagi meraikan pencapaian membanggakan ini dan memberi sokongan moral kepada pasukan orkestra tersebut sebelum mereka berangkat ke Eropah, FELDA dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Kementerian Komunikasi akan menganjurkan sebuah konsert khas bertajuk “Desaku Mendunia” pada 27 dan 28 Mei 2025 di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri.
Konsert itu jugak bakal dimeriahkan dengan kehadiran Dayang Nurfaizah, Datuk Jamal Abdillah, Yabang Khalifah, Datuk Suhaimi Sulaiman, Zam dan Along dari program Feel Da Starz serta kumpulan Zeppo Youngster.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah RTM, Nasaruddin Abdul Mutalib dan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail.
Sumber gambar: Berita IKIMfm, KLHype