KONSEP MADANI MENGANGKAT DAN MEMBENTUK MASYARAKAT BERDASARKAN NILAI LUHUR – PM ANWAR

BANGI, 22 Nov (IKIM) – Konsep MADANI yang diketengahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah manifestasi bagi mengangkat dan membentuk masyarakat berdasarkan nilai luhur. 

Beliau menegaskan ia dikuatkan dengan satu keperibadian, ahlak dan nilai yang boleh membentuk keluarga, masyarakat dan peradaban.

Beliau berkata demikian dalam satu rakaman video ucapan pada Majlis Pembukaan Seminar Kebangsaan Peradaban MADANI 2025 yang disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan. 

Perdana Menteri turut mengharapkan agar seminar ini dapat mencungkil idea serta dapat melontarkan pandangan dengan bebas dan bijaksana. 

“Khulasahnya (kesimpualan) mungkin dapat disampaikan kepada saya untuk membantu kami mendengar teguran, keluhan, rintihan dan kritikan anak-anak muda bagaimana kita boleh memperbaiki dan memantapkan lagi pentadbiran negara Malaysia tercinta,” kata beliau. 

Dalam pada itu, Dr. Zulkifli ketika ditemui media berkata seminar ini sebagai salah satu daripada sahutan kepada gagasan yang diilhamkan oleh Perdana Menteri serta bagaimana perlaksanaan dalam mempersiapkan Malaysia dan juga umat secara umumnya, mendepani cabaran-cabaran dan realiti era pasconomal yang serba kompleks dan rumit.

“Semangnya apabila kita sebut tentang Madani, ia menyebut tentang ketamadunan peradaban, dan ketamadunan dan peradaban yang kita mahukan oleh kerana realiti pada hari ini di mana peradaban yang sudah hilang kemanusiaan sudah hilang akhlak dan adabnya,” kata beliau. 

Seminar ini tambah beliau menekankan tentang ketamadunan, peradaban yang berasaskan nilai dan bukan hanya kepada material. 

Seminar anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) ini bersempena Muktamar Sanawi kali ke-54 ABIM dan Majlis Perhimpunan Agung Tahunan ke-64 PKPIM. 

Sementara itu, Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Samsudin berkata pembentukan individu dan juga rakyat dalam negara menjadi aspek yang dibincangkan dalam seminar kali ini. 

“Dalam erti kata pembentukan individu dan juga rakyat dalam negara itu satu terjemahan yang perlu kita lakukan. Bukan dalam bentuk slogan, bukan dalam bentuk teoretikal semata-mata, tapi kita usulkan agar ada tindakan-tindakan yang praktikal,”. 

Pada majlis tersebut turut dilancarkan laman sesawang anakmuda.my, satu platform yang memberi ruang idea kepada anak muda yang mesra kepada kecerdasan buatan (AI) serta aspek aplikasi digital yang lain. 

Turut hadir Presiden PKPIM, Muhammad Dzul Aiman Zulkefly; Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman; dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil. 

WhatsApp
Scroll to Top