SUNGAI BULOH, 3 Jun (IKIM) – Kementerian Pertahanan meneruskan komitmennya dalam memperkasa kebajikan dan masa depan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui program latihan peralihan dan peningkatan kemahiran yang diterajui oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).
Bersempana majlis ini, seramai 3,473 anggota ATM menamatkan Latihan Peralihan di seluruh negara dan 514 anggota serta veteran ATM berjaya dianugerahkan Diploma Kemahiran Malaysia, menerusi inisiatif RPEL.
Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perjuangan anggota tentera tidak berakhir apabila tempoh perkhidmatan tamat. Mereka masih boleh meneruskan bakti kepada negara melalui sumbangan di bidang lain.
“Hari ini kita bukan sahaja menyambut kejayaan setiap peserta yang mengikuti program kemahiran di PERHEBAT, tetapi juga meraikan kelangsungan perjuangan anggota tentera, dari medan pertahanan ke arena pembangunan negara,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penganugerah Diploma Kemahiran Malaysia (RPEL) dan Sijil PERHEBAT di sini, hari ini.
Beliau berkata RPEL merupakan program pensijilan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) yang mengiktiraf pengalaman, kemahiran dan pencapaian anggota serta veteran, semasa dalam perkhidmatan berdasarkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS).
Khalid turut menggariskan peranan strategik PERHEBAT dalam menyediakan latihan yang bersifat relevan dan berorientasikan pasaran, serta menjadi jambatan antara dunia ketenteraan dan pasaran pekerjaan sivil.
Beliau berkata kepentingan PERHEBAT perlu diberi perhatian antaranya Membangunkan kelangsungan kesejahteraan veteran ATM; Menjalin kerjasama erat dengan industri dan pasaran kerja; dan Bersifat anjal, terbuka dan berorientasi prestasi tinggi.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan Mohamed Khaled hari ini, menyaksikan majlis menandatangani lapan memorandum dan nota persefahaman antara Perhebat dengan pihak industri.
Memorandum dan nota persefahaman itu bagi manfaat bakal pesara dan veteran ATM dalam skop penempatan pekerjaan, peluang keusahawanan dan program latihan.
Ia melibatkan Boustead Petroleum Marketing (BHPetrol), Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Maxis Broadband, TAB Security, Kamatech Automotive & Engineering, Hexide Engineering, AMS Caddy Academy dan Nur Lembah Pangsun Eco Resort.
Turut hadir Pengerusi PERHEBAT, Prof. Emerita Datuk Dr. Roziah Omar.