KUALA LUMPUR, 20 Ogos (IKIM) – Penubuhan Kolej Professional Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (KPMAIWP) yang menggabungkan antara Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) dan Kolej Professional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) pada tahun ini bakal memperkasa ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata (KPMAIWP) ini sebagai mercu tanda kecemerlangan pendidikan Islam berteraskan TVET.

“Penggabungan ini akan memantapkan institusi pendidikan di MAIWP ini. Saya telah minta kepada pengurusan MAIWP untuk memastikan supaya segala usaha-usaha ke arah pembentukan KPMAIWP ini hendaklah diberikan sokongan dan dimudahkan segala urusan,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen ke-31 Institut Kemahiran Baitulmal (IKB), di sini hari ini.
Seramai 97 graduan sesi 2023/2024 menamatkan pengajian dalam tujuh program kemahiran; satu program peringkat diploma dan enam program peringkat sijil.

“Kita nak lahirkan graduan di IKB ini bukan sahaja menguasai TVET, kemahiran masing-masing tetapi dalam masa yang sama mereka ini menguasai ilmu agama, dan yang penting akhlak. Saya tekankan dalam konteks pembinaan Malaysia MADANI ini, masyarakat itu bukan sahaja berilmu tetapi juga menghayati dan lahir dari graduan IKB ini insan-insan dan belia-belia yang ada akhlak yang mulia,” tambah beliau.
Mohd Na’im turut berkata TVET MADANI bukan sekadar membekalkan aspek kemahiran tetapi membina insan yang berintegriti, berakhlak dan berjati diri Islam.
Majlis ini juga menjadi pengiktirafan kepada usaha gigih para graduan, tenaga pengajar, ibu bapa dan seluruh warga IKB yang menyumbang kepada kejayaan ini.

MAIWP dalam satu kenyataan berkata dengan lahirnya graduan TVET berdaya saing ini, MAIWP yakin peranan IKB yang kini digabungkan dengan KPBKL akan terus menjadi pencetus kecemerlangan pendidikan Islam, selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani dalam melahirkan modal insan seimbang dunia dan akhirat.
Turut hadir Pengerusi MAIWP, Tuan Haji Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer; dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya.
Foto: Media Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im