Khemah sempit di Mina bukan isu baharu

\"\"

MAKKAH, 30 Jun (12 Zulhijjah) (IKIM) – MAKKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan kenyataan serta tuduhan yang mendakwa pihaknya tidak bertindak atas rungutan dan aduan berkaitan khemah di Mina pada musim 1444H/2023M, sebaliknya sentiasa mengutamakan kebajikan serta keselamatan semua jemaah Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman, berkata ia termasuk aduan mengenai kerosakan pendingin hawa di sebilangan khemah jemaah Malaysia di Mina.

Katanya, pihak pengurusan maktab TH telah berusaha mengatasi masalah pendingin hawa yang tidak berfungsi baik, dengan menghubungi pihak yang bertanggungjawab supaya ia dibaiki pulih segera.

Selain itu, beliau berkata, TH juga mengambil beberapa inisiatif awal untuk menangani isu ruang sempit di khemah Mina yang diperkatakan segelintir pihak melalui portal dan media sosial.

Syed Hamadah menjelaskan, keadaan ruang sempit dalam khemah itu dihadapi jemaah Malaysia serta negara lain, lebih-lebih lagi dengan kuota penuh dan apabila ada kuota tambahan.

\”Sempadan Arafah serta Mina adalah ditetapkan oleh hukum dan tidak berubah dari dahulu walaupun jemaah haji semakin meningkat setiap tahun seiring pertambahan rakyat di sesebuah negara.

\”Masalah ruang sesak ini telah dihadapi jemaah dari semua negara sejak sekian lama dan ia bukan situasi baru timbul. Ruang serta saiz khemah Mina adalah di luar kawalan TH kerana kemudahan di Arafah dan Mina disediakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi untuk semua negara,\” katanya pada sidang media, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Malah, Syed Hamadah berkata, perihal ruang sempit di dalam khemah Mina itu sudahpun dimaklumkan kepada jemaah ketika kursus haji di tanah air dan taklimat masyair oleh pihak pengurusan maktab TH, termasuk menekankan bahawa tidak dapat tidur secara terlentang di situ disebabkan keadaan berkenaan.

Keistimewaan Mina disebutkan oleh Rasulullah dalam sabdanya, “Sesungguhnya Mina ini seperti rahim, ketika terjadi kehamilan, daerah ini diluaskan oleh Allah SWT. Maka kita tidak semestinya khawatir tidak ada tempat di Mina.”

 

NORHAYATI PARADI

Makkah untuk Radio IKIM

Scroll to Top