\”Sesungguhnya, tertawa itu termasuk tabiat manusia. Binatang tidak dapat tertawa kerana tertawa itu datang setelah memahami dan mengetahui ucapan yang didengar atau sikap dari gerakan yang dilihat, sehingga ia tertawa kerananya.\” Islam tidak melarang seseorang itu untuk berseronok dengan bergelak ketawa. Ustaz Muhamad Abdullah al Amin dalam rancangan Pesona D\’Zahra yang bersiaran di IKIMfm pada Isnin minggu lalu jam 10.15 pagi berkata begitulah indahnya Islam ini mengajar kita sentiasa bersederhana walaupun dalam gurau senda sederhana walaupun tika tertawa hanya diri sendiri yang sering alpa dalam menghayati akhlak Islam yang sebenar. Perkongsian berkaitan “Islam Anugerahkan Manusia Dengan Ketawa” menurut ‘Ustaz Muhamad Abdullah al Amin ada tiga, diantaranya adalah:
Pertama, Sumbernya
Dalam Islam, ada tiga perkara yang dianggap diambil hukumnya walaupun dalam keadaan melawak. Nabi SAW bersabda, Maksudnya: Tiga perkara yang mana diambil hukumnya samada dalam keadaan melawak atau serius iaitu nikah, cerai dan membebaskan hamba. (Hadis Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah – sanad hasan). Sesungguhnya, Allah telah mencela orang-orang musyrikin yang ketawa ketika mendengar bacaan al-Quran. Firman Allah SWT dalam surah an-Najm, ayat 59-61, mafhumnya \”Adakah kamu hai musyirikin rasa hairan dengan ayat-ayat suci al-Quran? Kamu ketawa ketika mendengarnya, tidak menangis ketika mendengranya dan kamu dengar dengan keadaan lalai.\” Allah telah berfiman dalam surah al-Hujurat mafhumnya, ayat 11, \”Wahai orang-orang yang beriman. Janganlah satu puak itu menghina puak yang lain, kemungkinan orang yang dihina lebih baik daripada orang yang menghina. Janganlah wanita menghina wanita lain, kemungkinan wanita yang dihina lebih baik daripada wanita yang menghina…”
Kedua, Caranya
Menurut pandangan Islam, bergelak tertawa adalah tidak baik dan makruh hukumnya. Ibn Mas’ud RA meriwayatkan dari Auf bin Abdullah bahawa biasanya Rasulullah SAW tidak tertawa melainkan senyum simpul dan tidak suka melerek, iaitu tidak menoleh, kecuali dengan semua wajahnya. Hadis itu menunjukkan bahawa senyum itu sunat dan tertawa berbahak- bahak adalah makruh. Maka itu seseorang yang sihat akal dilarang bergelak tertawa kerana mereka banyak bergelak ketawa di dunia akan banyak menangis di akhirat. Orang yang banyak menangis di dunia mereka akan banyak tertawa di syurga. Menurut Yahya bin Muaadz Ar-razi, ada empat perkara yang menghilangkan tertawa seseorang Mukmin: – (1) Kerana memikirkan akhirat (2) Kesibukan mencari keperluan hidup (3) Risau memikirkan dosa (4) Apabila tibanya musibah dan bala. Jika seseorang sibuk memikirkan perkara itu, maka dia tidak banyak tertawa kerana banyak tertawa bukan sifat seorang Mukmin. Seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas ra, “Sesiapa yang tertawa ketika membuat dosa, maka dia akan menangis ketika akan masuk neraka.” Oleh itu marilah sama-sama kita muhasabah diri dan kembali bertaubat kepada ALLAH SWT. Banyakkan menangis kerana ALLAH dari ketawa yang sia-sia, itu adalah amalan yang lebih baik.
Ketiga, Natijahnya
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: \”Dan siapa yang meninggalkan senda-gurau diberi wibawa dan keindahan, dan siapa yang meninggalkan tertawa, maka ia berwibawa dan hebat, dan siapa yang tidak menginginkan kekayaan orang maka ia dicintai.\” Islam juga melarang seseorang melakukan sesuatu atau berkata sesuatu untuk mentertawakan orang lain atau menyebabkan orang lain tertawa. Contohnya ialah seperti berlawak jenaka di mana seseorang akan berlagak dan mengeluarkan kalimah yang menyebabkan orang lain tertawa. Menurut riwayat dari Ibrahim Annakhari beliau berkata: \”Adakalanya seseorang mengeluarkan satu kalimah untuk mentertawakan orang di sekitarnya, maka Allah S.W.T. murka padanya lalu murka Allah itu merata kepada orang-orang yang di sekitarnya, yang tertawa bersamanya. Jika seseorang yang berkata kalimah yang di reda oleh Allah, maka ia mendapat rahmat dan rahmat Allah itu diperolehi juga oleh orang di sekitarnya.\” Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: \”Neraka wail itu buat orang yang bercakap-cakap dengan berdusta dan berolok-olok supaya menimbulkan tertawa pada orang ramai, dan neraka wail itu untuk dia. Dalam Hadis itu Rasulullah S.A.W. mengulang kalimah \”neraka wail itu untuk dia\” sebanyak dua kali, membuktikan tegas dan kuatnya amaran terhadap orang yang suka bergelak tertawa dan berjenaka. Islam memberi peringatan bahawa semakin kuat hilai dan tertawa seseorang itu, semakin hampir iblis dan syaitan sambil tertawa berbahak-bahak menari-nari untuk melalaikan dia.
Kesimpulannya, Ustaz Muhamad Abdullah al Amin menjelaskan bahawa kelakar adalah perbuatan, kata-kata dan sebagainya yang dapat menggembirakan atau yang dapat menggelikan hati orang lain. Sinonimnya adalah jenaka, lawak dan gurau senda. Membuatkan orang lain senang hati adalah termasuk dalam amal kebajikan dan Rasulullah s.a.w juga selalu berjenaka dengan ahli keluarga dan para sahabat baginda. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila ketawa baginda hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja, bukan ketawa yang berdekah-dekah, mengilai-ngilai atau terkekeh-kekeh dengan maksud bahawa selaku seorang Muslim kita hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan dalam erti kata yang sepatutnya. Oleh itu marilah sama-sama kita muhasabah diri dan kembali bertaubat kepada tuhan. Banyakkan menangis (kerana Allah) dari ketawa (yang sia-sia) itu adalah amalan yang lebih baik. Namun, Islam tidak pernah melarang umatnya untuk ketawa, tetapi biarlah di atas landasan syariat yang sederhana kerana kita tidak dapat mengelakkan sesuatu yang semulajadi tercipta.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 25 April 2016