TANJONG MALIM, 7 Feb (IKIM) – Kerajaan kini dalam proses menyediakan garis panduan khusus bagi memastikan semua masjid dan surau di negara ini dilengkapi kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Menurut beliau, usaha itu dilaksanakan menerusi Pelan Tindakan OKU Orang Islam dan disokong dengan siri perbincangan bersama pelbagai pihak berkepentingan.
“Di bawah inisiatif ini, kita telah melatih imam dan guru supaya mampu mengajar menggunakan Braille. Selain itu, MAIWP turut menaja peralatan e-Braille atau sistem e-Dot berupa komputer riba untuk kegunaan OKU,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program MADANI Membantu: Ziarah Kasih Rahmah (ZIKIR) 2026 Bersama Komuniti Behrang, hari ini.
Zulkifli berkata, meskipun terdapat masjid yang sudah menyediakan kemudahan asas untuk OKU, penambahbaikan masih diperlukan bagi memastikan akses yang lebih menyeluruh dan mesra.
“Alhamdulillah, ada masjid yang telah menerima pengiktirafan dan melaksanakan program mesra OKU, termasuk penyediaan bahasa isyarat semasa khutbah,” katanya.
Beliau menambah, peluasan pelaksanaan secara menyeluruh mungkin mencabar, namun dengan perancangan rapi, kesungguhan dan komitmen berterusan, usaha itu mampu direalisasikan.
Sementara itu, Zulkifli yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Pemegang Amanah Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) memaklumkan program hari ini merupakan hasil kerjasama strategik YWM dengan Jawatankuasa Masjid Al-Hidayah Behrang, agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, rakan strategik serta sukarelawan dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti setempat.
Antara pengisian program termasuk penyampaian kotak makanan kepada 150 ketua isi rumah, pemberian petrol percuma serta program sarapan percuma kepada lebih 500 penduduk sekitar. Selain itu, turut disediakan perkhidmatan kaunter wakaf, khidmat nasihat dan pemeriksaan kesihatan percuma bagi memudahkan masyarakat mendapatkan pelbagai perkhidmatan di satu lokasi.




