KERAJAAN PANDANG SERIUS NARATIF PERCERAIAN, TEGASKAN PEMELIHARAAN INSTITUSI KELUARGA ISLAM – ZULKIFLI

PUTRAJAYA,19 Dis (IKIM) – Kerajaan memandang serius kemuliaan dan kedudukan tinggi institusi perkahwinan dalam Islam serta menegaskan bahawa sebarang naratif, pendekatan atau istilah berkaitan perceraian perlu ditangani secara berhati-hati, beretika dan bertanggungjawab.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, kemunculan dan promosi perkhidmatan tertentu yang menggunakan penjenamaan seperti “Coach Cerai” telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat terhadap pendekatan sebenar Islam dalam menangani konflik rumah tangga dan krisis perkahwinan.

Beliau berkata, perkahwinan dalam Islam merupakan satu amanah agama yang mempunyai implikasi besar terhadap kesejahteraan emosi, sosial dan spiritual pasangan serta anak-anak, justeru sebarang usaha yang secara langsung atau tidak langsung memudahkan perceraian tanpa melalui proses islah, nasihat dan rundingan yang tersusun berisiko menormalisasikan perceraian sebagai jalan pintas.

“Pendekatan sedemikian boleh meremehkan nilai kesabaran dan tanggungjawab yang digariskan dalam ajaran Islam dalam usaha memelihara keharmonian rumah tangga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Zulkifli turut menegaskan bahawa Jabatan Agama Islam Negeri-negeri sebagai pihak berkuasa agama Islam telah menyediakan khidmat runding cara dan nasihat kepada pasangan suami isteri melalui kaunselor bertauliah serta Pegawai Hal Ehwal Islam yang berautoriti.

Menurut beliau, penyelesaian konflik rumah tangga perlu dilaksanakan secara berperingkat dan berlandaskan syariah, merangkumi nasihat, proses sulh, pelantikan orang tengah daripada kedua-dua keluarga serta bimbingan kaunseling sebelum sebarang keputusan besar seperti penceraian dibuat.

Sehubungan itu, pasangan yang berdepan konflik rumah tangga digalakkan mendapatkan bantuan melalui saluran sah dan berautoriti, termasuk perkhidmatan yang disediakan oleh agensi hal ehwal agama seperti KSKCareCentre (KSKCC) di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang menawarkan khidmat kaunseling berstruktur dan profesional berlandaskan pendekatan syariah.

Selain itu, beliau berkata JAKIM dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut menyediakan Kursus Pascaperkahwinan Islam sebagai platform bimbingan berterusan bagi mengukuhkan kefahaman terhadap tanggungjawab serta hikmah perkahwinan.

Dalam pada itu, Dr. Zulkifli menasihatkan semua pihak agar berhati-hati dalam menggunakan istilah dan pendekatan berkaitan kekeluargaan Islam supaya tidak menimbulkan kekeliruan atau salah faham dalam masyarakat.

“Perceraian tidak wajar dipromosikan sebagai jalan pintas. Pasangan yang berdepan krisis rumah tangga seharusnya digalakkan mendapatkan bimbingan profesional melalui saluran yang sah dan berautoriti,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati proses undang-undang yang ditetapkan, menjaga adab serta etika dalam perbincangan, dan mengelakkan sebarang bentuk spekulasi yang boleh menjejaskan maruah individu serta keharmonian masyarakat.

Menurutnya, beliau bersama agensi hal ehwal agama kekal komited memperkukuh program pendidikan keluarga, kaunseling dan advokasi kekeluargaan selaras dengan prinsip Maqasid Syariah dan aspirasi Malaysia MADANI demi memastikan institusi keluarga terus menjadi teras utama kesejahteraan ummah dan pembangunan negara.

WhatsApp
Scroll to Top