KERAJAAN KOMITED PERKASA SUARA ANAK MUDA

KUALA LUMPUR, 14 Jun (IKIM) – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM4 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai langkah memperkasakan golongan belia di negara ini. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu  ketika merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2025 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Dataran Merdeka, di sini, hari ini. 

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa sambutan Hari Belia Negara 2025 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. 14 Jun 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

Beliau dalam pada itu berkongsi catatan di Facebook, suara anak muda dan golongan belia perlu terus didengari, dihormati dan diangkat sebagai suara penting dalam mencorak hala tuju masa depan negara.

“Gegak gempita semangat, tenaga dan aura belia amat signifikan dalam membawa arus perubahan ke arah masa depan negara yang lebih cemerlang dan berdaya saing di peringkat serantau mahupun global,” ujar beliau. 

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa sambutan Hari Belia Negara 2025 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. 14 Jun 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

Beliau turut menegaskan bahawa potensi, idealisme dan daya juang anak muda merupakan tonggak kekuatan sesebuah negara, dan penglibatan aktif mereka dalam proses pembangunan perlu disuburkan.

Sementara itu, Kerajaan MADANI bersetuju untuk menyegerakan kelulusan peruntukan bagi penubuhan Akademi Sepak Takraw Malaysia, supaya ia dapat direalisasikan menjelang hujung tahun ini.

Anwar berkata kerajaan akan memastikan cadangan penubuhan akademi berkenaan menjadi realiti.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa sambutan Hari Belia Negara 2025 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. 14 Jun 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

“Tentunya bola sepak itu adalah kuat di Malaysia, kita berjaya tewaskan Vietnam baru-baru ini, tapi sepak takraw sudah catat prestasi yang membanggakan di peringkat rantau dan dunia, (berjaya) tarik minat semua di bandar dan desa.

“Jadi Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) ada bisik (mohon) dan tekankan pada saya (supaya) sokong pasukan dan (penubuhan) Akademi Sepak Takraw Malaysia, saya setuju saranan itu, kita akan segerakan,” kata beliau.

Hadir sama Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.

Mengulas mengenai penubuhan Akademi Sepak Takraw Malaysia, Anwar berkata Hannah telah memohon peruntukan berjumlah RM6 juta bagi tujuan berkenaan.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa sambutan Hari Belia Negara 2025 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. 14 Jun 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

Dalam majlis yang sama, T Tashidaran dan Amirah Mohamad Arshad masing-masing dipilih sebagai pemenang Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000.

Majlis Belia India Malaysia (MIYC) pula memenangi kategori Pertubuhan Belia Berstatus Kebangsaan dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 manakala Kategori Pertubuhan Belia pula menjadi milik Angkatan Belia Islam Malaysia Cawangan Perak sekaligus membawa pulang RM50,000.

Foto: FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

WhatsApp
Scroll to Top