SALAH satu perjalanan yang telah diatur oleh Allah SWT di dalam tentatif kehidupan manusia, ialah perjalanan di Padang Mahsyar sebagaimana yang telah terdapat di dalam hadis Rasulullah SAW berkaitan peristiwa pertukaran kiblat yang berlaku pada bulan Syaaban agar manusia mengetahui betapa besarnya nilai keadaan apabila kita berdiri berseorangan menghadap Rabbul Jalil nanti. Allah akan menggantikan dunia dengan alam akhirat yang merupakan suasana yang kekal abadi. Oleh itu pengajaran di sebalik kengerian terhadap hari Kiamat agar ia dapat memberi kesan kepada manusia agar tidak terus lalai dan leka dengan kehidupan dunia yang hanya bersifat sementara dan Baginda Rasulullah sentiasa menceritakan kepada para sahabat tentang keadaan yang bakal ditempuhi mereka di Padang Mahsyar.
Perjalanan di alam barzakh merupakan keadaan yang penuh dengan huru hara pada peringkat awal kematian kerana kita mengharunginya secara bersendirian, manakala perjalanan di Padang Mahsyar nanti kita akan berada di dalam himpunan manusia yang sangat ramai, namun setiap manusia hanya bergantung kepada amalan masing-masing dan ia merupakan situasi lebih menggerunkan. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, menjelaskan bagaimana Rasulullah menceritakan keadaan bagaimana Allah akan mengakhiri alam ini dengan mematikan seluruh makhluk dan manusia hingga akhirnya para malaikat juga tidak terkecuali termasuk malaikat Izrail sekalipun. Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi perkongsiannya di dalam slot Mau’izati di IKIMfm pada setiap Khamis, jam 5.15 petang juga menyambung penjelasan Baginda Rasulullah di dalam hadis yang sama iaitu apabila malaikat Izrail mencabut nyawanya sendiri, dia bertempik dan meraung dengan bunyi yang amat kuat dan menggerunkan kerana merasa kesakitan yang amat sangat sehinggakan Rasulullah menyatakan sekiranya ada manusia dan jin yang masih hidup pada ketika itu terdengar raungan tersebut, nescaya mereka juga akan menemui ajal pada waktu itu juga.
Di dalam hadis yang sama Rasulullah SAW menceritakan setelah berakhirnya seluruh kehidupan, Allah akan membentangkan alam ini dan diratakan seperti kulit binatang yang disamak. Tiada lagi tempat yang rendah dan tinggi, tanah menjadi rata, tiada lagi bukit-bukau dan itulah keadaan di Padang Mahsyar nanti.
Kemudian Allah mengarahkan semua jasad kembali hidup, lalu bangunlah mereka di Padang Mahsyar bagaikan tumbuhnya sayur-sayuran. Setelah jasad sudah tumbuh dan kembali seperti sedia kala, maka Allah berfirman, “Hiduplah Jibril dan Mikail” dan mengarahkan malaikat tersebut menghimpunkan roh di suatu tempat. Rasulullah menyebut roh-roh kaum muslimin kelihatan berkilauan sedangkan roh-roh golongan bukan mukmin kelihatan gelap dan masuk ke dalam jasad masing-masing. Setelah itu roh-roh akan dikumpul dan dilempar ke dalam sangkakala, kemudian Israfil diperintahkan Allah agar meniup tiupan kebangkitan dan keluarlah roh-roh itu bagaikan lebah yang berterbangan memenuhi segenap ruang di antara langit dan bumi termasuklah roh yang ada bermula sejak Nabi Adam AS sehingga berakhirnya kehidupan di bumi.
Huraian lanjut berkaitan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA ini, menjelaskan Rasulullah SAW menceritakan roh memasuki jasad melalui hidung dan masuk menjalar ke dalam tubuh badan manusia bagaikan racun daripada sengatan binatang berbisa yang menyerap ke seluruh anggota. Saat dibangkitkan manusia, bumi mula merekah dan menolak jasad naik ke permukaan. Baginda bersabda: “Aku adalah manusia yang pertama yang keluar di muka bumi ini”. Sejurus selepas itu Rasulullah bertanya, “Hari apakah ini wahai Jibril?”. Dijawab Jibril kepada Baginda SAW bahawa hari itu adalah hari pembalasan. Tangkas Baginda menyoal lagi, “Di mana umatku wahai Jibril?”. Ini membuktikan sayangnya Baginda kepada umatnya, sehingga pada saat itupun Baginda masih lagi mengambil berat keadaan umatnya.
Rasululullah juga berkata, setiap manusia yang bangkit dalam keadaan tanpa ditutupi dengan seurat benang sekalipun dan tanpa dikhatankan. Mereka berdiri di dalam suasana yang gelap dan hiruk-pikuk selama 70 tahun tanpa dipedulikan oleh sesiapa dan diadili pada ketika itu, di dalam keadaan menangis sehingga kering air mata mereka dan digantikan dengan air mata darah. Masing-masing dibanjiri air peluh mereka sendiri dan berteriak di antara satu sama lain meminta agar segera diadili kerana tidak lagi sanggup menanggung siksaan. Kemudian manusia bergerak mencari Nabi Adam dan memohon syafaat daripadanya, namun Baginda menjawab, “Hari ini adalah hari masing-masing, aku juga tidak mampu berbuat demikian.” Lalu manusia mula memohon pula syafaat daripada nabi-nabi lain yang ditemui, namun semuanya tidak dapat membantu dan Rasulullah SAW menceritakan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah itu, “Akhirnya umat manusia mencari dan bertemu denganku, lalu aku pergi ke al-Fahsy iaitu suatu tempat di hadapan Arasy Allah SWT dan sujud sambil menangis memohon bantuan Allah agar mengadili manusia. Selepas itu baru lah Allah mula mengadili manusia kerana kasih-Nya kepada Rasulullah SAW.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 26 Mei 2016