Kemuncak Nikmat di Syurga

APABILA manusia seringkali diberi peringatan tentang istimewanya syurga, ia secara tidak langsung memberi dorongan kepada mereka untuk menyimpan impian dan tekad melakukan amal ibadah dengan bersungguh-sungguh agar kelak dapat menikmati ganjaran syurga. Selain itu ia juga dapat menjauhkan manusia daripada perasaan cintakan dunia yang keterlaluan kerana menganggap dunia umpama syurga walaupun kenikmatan yang ada di dalamnya hanyalah sementara serta menyebabkan ramai di kalangan manusia yang akhirnya mati di dalam keadaan sia-sia.

Di antara kenikmatan yang dirasai penghuni syurga ialah peluang untuk kunjung mengunjung di antara satu sama lain sambil berbincang tentang kebaikan yang telah dilakukan ketika mereka hidup di dunia dahulu. Malah mereka turut berbincang tentang dosa-dosa yang dilakukan, namun Allah masih memasukkan mereka ke dalam syurga, menyebabkan mereka sangat gembira. Firman Allah di dalam surah at-Tuur, ayat 25-28: “Dan (dengan berada dalam nikmat itu) mereka berhadap-hadapan satu sama lain sambil bertanya-tanya. Mereka berkata: \”Sesungguhnya kami dahulu, semasa berada dalam kalangan keluarga kami – selalu merasa cemas takut (daripada berlaku derhaka kepada Allah), \”Maka Allah mengurniakan kami (rahmat dan taufiqNya), serta memelihara kami dari azab neraka.\”Sesungguhnya kami dahulu tetap menyembahNya (dan memohon pertolonganNya). Kerana sesungguhnya Dia lah sahaja yang sentiasa melimpahkan ihsanNya, lagi Yang Maha Mengasihani”.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati yang bersiaran di radio IKIMfm hari Khamis jam 5.15 petang turut berkongsi peringatan daripada Rasulullah SAW bahawa setiap mukmin akan melalui lima ujian yang besar sepanjang hidupnya di dunia. Ujian pertama ialah sifat saling dengki-mendengki di antara sesama mukmin, ujian kedua ialah sifat benci golongan munafik kepada golongan mukmin. Ujian ketiga ialah orang kafir akan sentiasa mencari jalan untuk membunuh orang mukmin, ujian ke-empat yang perlu dihadapi orang mukmin ialah apabila syaitan akan menyesatkan mereka, manakala ujian terakhir ialah daripada hawa nafsu mereka sendiri yang sentiasa menarik-narik diri mereka supaya mengingkari perintah Allah. Apabila memasuki syurga kelak, penghuninya akan berasa syukur dan gembira kerana akhirnya mereka berjaya melepasi ujian-ujian daripada Allah SWT.

Kenikmatan lain yang akan dirasai oleh penghuni syurga ialah apabila mereka saling memandang wajah Allah. Di syurga nanti, Allah akan menjadikan wajah penghuninya menjadi cantik, putih berseri sebagaimana firman Allah yang terkandung di dalam surah al-Qiamah, ayat 22-23: “Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; Melihat kepada Tuhannya”. Begitu juga di dalam surah al-Mutaffifiin ayat 22-24: “Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam Syurga yang penuh nikmat: Mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), sambil melihat (segala keindahan dan kemuliaan yang disediakan untuk mereka di situ). Engkau dapat melihat pada muka mereka: cahaya nikmat yang mereka perolehi.”

Ada pandangan ulama, wajah Allah diperlihatkan kepada ahli syurga bukannya sepanjang hari, tetapi pada waktu-waktu tertentu sahaja iaitu ketika pertemuan-pertemuan umum yang besar. Umpamanya pada hari Jumaat ketika para penghuni syurga berkumpul di lembah yang luas yang terdiri daripada kasturi putih dan duduk dengan darjat masing-masing. Ketika itu disebarkan kepada mereka pelbagai jenis makanan istimewa yang belum pernah dilihat ketika mereka hidup di dunia dahulu. Mereka diletakkan dengan pelbagai jenis wangian dan pelbagai penghormatan lain yang tidak terfikir oleh sesiapa pun sebelum ini. Sesudah itu, Allah Yang Maha Agung mula menunjukkan wajahnya pada penghuni syurga dan mengajak mereka berbual dengan-Nya seorang demi seorang.

Malah suasana kenikmatan di dalam syurga turut digambarkan di dalam surah Yasiin, ayat 56-58: “Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin; Mereka beroleh dalam Syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki; (Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.”

Pada setiap hari Jumaat, Allah akan menambahkan lagi nikmat kepada ahli syurga. Rasulullah SAW bercerita, apabila semua penghuni syurga telah masuk ke dalamnya, dan ahli neraka telah masuk ke dalam neraka, maka terdengar satu seruan, “Wahai sekalian penghuni syurga sesungguhnya bagi kamu di sisi Allah, ada janji yang akan ditunaikan kepada kamu.” Penghuni syurga bertanya, “Apakah itu ya Allah? Bukankah semua kebaikan kami telah kamu jadikan lebih berat dari itu, adakah ia masih belum mencukupi? Bukankah Kamu telah jadikan wajah kami putih berseri, Kamu masukkan kami ke dalam syurga dan Kamu keluarkan kami daripada neraka itu pun sudah merupakan satu nikmat, ya Allah.” Lalu disingkapkanlah hijab daripada mereka sehingga dapat melihat Allah, demi Allah tidak ada sesuatu yang diberikan oleh Allah kepada mereka yang lebih mereka sukai dan disenangi pandangan mata mereka selain memandang wajah Allah. Kemuncak kenikmatan yang terakhir ialah apabila penghuni syurga dapat kekal berada di dalam keredaan Allah di dalam syurga.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 24 Ogos 2017
Scroll to Top