Kematian Yang Dicemburui

HADIS yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim daripada Saidina Anas bin Malik RA menyebut bahawa pada suatu hari berlalu satu jenazah di hadapan Rasulullah SAW dan para sahabat yang kemudian memuji kebaikan jenazah tersebut. Lalu datang pula seorang lagi jenazah dan mereka menyebut pula tentang keburukannya. Maka Rasulullah menyebut perkara yang sama seperti sebelumnya, “Wajiblah ia”. Kemudian Saidina Umar al-Khattab RA bertanya apakah yang dimaksudkan oleh Baginda dengan pernyataannya itu dan diterangkan Baginda bahawa bagi jenazah pertama yang dipuji kebaikannya itu adalah wajib baginya untuk menjadi penghuni syurga, manakala jenazah kedua yang disebut-sebut keburukannya, wajib pula ke atasnya api neraka. Rasulullah SAW berkata lagi, “Sesungguhnya kalian adalah saksi-saksi Allah di atas muka bumi”.

Sebagaimana perkongsian oleh Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre di dalam slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm, Rasulullah berpesan kepada umatnya bahawa salah satu sifat orang yang bijak ialah beramal untuk bekalan yang akan dibawa selepas kematiannya, malah mereka sentiasa bersedia untuk menghadapi kematian pada bila-bila masa. Segala ciri-ciri fizikal yang ada pada manusia tidak akan mendatangkan manfaat kepada mereka di alam kubur kelak, tetapi sebaliknya kehidupan setelah mati adalah perkara paling utama. Contohnya para sahabat Rasulullah SAW yang syahid ketika di dalam peperangan yang setiap inci pada tubuh mereka mempunyai kesan tikaman, kecacatan dan cedera akibat senjata musuh, namun nilaian kematian mereka begitu tinggi disisi Allah dan merupakan kematian yang dicemburui oleh setiap manusia.

Keadaan kematian yang husnul khatimah atau suul khatimah menjadi nilaian sebenar disisi Allah yang disaksikan pada saat-saat akhir amalan yang dilakukannya. Tidak menghairankan bagi seseorang yang melakukan amalan kebaikan ketika hidupnya, namun setelah kematiannya dan ketika hampir dimasukkan ke dalam syurga, tiba-tiba Allah memerintahkan dia dimasukkan ke dalam neraka kerana dia pernah beramal dengan amalan ahli neraka. Malah sebaliknya manusia yang melakukan amalan kejahatan ketika hidupnya, tetapi pada penghujungnya dia beramal dengan amalan ahli syurga dan apabila menemui ajalnya, dia diperintahkan Allah untuk dimasukkan ke dalam syurga. Sesungguhnya manusia yang menemui ajal ketika sedang melakukan solat, berada di dalam majlis ilmu, sedang mendengar khutbah dan sebagainya, merupakan di antara contoh-contoh kematian yang dicemburui.

Walau bagaimanapun manusia tidak seharusnya bersangka buruk terhadap kematian mereka yang sebaliknya, contohnya kematian Saidina Khalid bin al-Walid yang merupakan pahlawan Islam tersohor yang menemui ajalnya bukan di medan perang tetapi di atas tempat tidurnya. Peristiwa ini berlaku sebagai pengajaran daripada Allah SWT kepada umat manusia agar mereka menilai sendiri amalan yang dilakukan sebagai bekalan untuk kembali menghadap Allah SWT kelak. Malah kematian yang dicemburui boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki oleh Allah SWT dan bergantung terhadap amalan yang dilakukan ketika hidupnya.

Tetapi manusia yang meninggal dunia di dalam keadaan yang buruk walaupun amalan awal hidupnya baik, selalunya berpunca daripada niat asal atau lintasan hatinya apabila melakukan kebaikan yang bermasalah. Oleh itu untuk memastikan agar amalan kebaikan yang dilakukan berkekalan sehingga ke penghujung hayatnya, maka niat haruslah dijaga agar sentiasa bersih daripada sebarang penyakit hati. Di dalam kitab Ihya’ Ulummiddin, Imam al-Ghazali menukilkan, “Siapa yang belajar dan kemudiannya beramal, mengajarkan atau mengajak orang kepadanya, dia akan digelar sebagai orang yang agung di langit.”

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 2 Mei 2018

 

WhatsApp
Scroll to Top