Kekuatan Cinta KeranaNya

KASIH sayang adalah anugerah terbesar kurniaan Allah SWT kepada manusia yang ikhlas menyayangi manusia lain kerana Allah. Kasih sayang itu wujud dalam rumahtangga, masyarakat dan dalam kalangan ummah bahkan kepada sesiapa sahaja di muka bumi ini.
Menerusi rancangan Tarbiah yang disiarkan di radio IKIMfm, Ustazah Norhafizah Musa menyatakan, kekuatan cinta itu boleh terbina dengan nilai kejujuran dalam hati seseorang mukmin. Manusia yang dirinya penuh dengan kasih sayang akan mencuba berbuat sehabis baik bagi membina ukhwah dengan manusia lain. Umpamanya menegur ketika berbuat khilaf, memuji saat melakukan kebaikan, itu adalah sebaik-baik insan yang sentiasa mahu melihat orang di sekelilingnya memperolehi kebaikan.  
Menekuni sebuah kitab yang bertajuk Dakwah dan Cinta Ke Jalan Allah karya karangan Shaikh Abbas as-Sisi, yang menukilkan tentang ciri- ciri kekuatan menyayangi dan mencintai manusia disekeliling kerana Allah SWT, merupakan suatu nikmat yang hebat. Nikmat itu akan diperolehi oleh seseorang yang memiliki nilai kasih sayang yang unggul, bukan oleh seseorang yang hanya menyanjung pangkat dan darjat.
Saidina Umar al-Khatab RA menyebut pernah mendengar baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya ada beberapa manusia dari kalangan hamba Allah yang mereka itu bukan kalangan pada nabi dan bukan juga kalangan para syuhada, tetapi para nabi dan para syuhada cemburu dan iri hati dengan mereka, lantaran kedudukan mereka di sisi Allah SWT”. Lalu para sahabat berkata lagi, beritahulah kepada kami siapakah mereka itu? Dan apakah kerja-kerja mereka? Semoga kami dapat bersama dengan mereka. Lalu baginda SAW menyambung “Mereka itu adalah suatu kaum yang berkasih sayang kerana Allah, walaupun tanpa ikatan kekeluargaan yang mengikat mereka dan tanpa harta yang saling mereka berbagi di antara mereka. Sesungguhnya demi Allah mereka berada di atas cahaya dan sesungguhnya mereka itu lah cahaya, mereka tidak takut apabila manusia takut, dan mereka tidak berdukacita apabila manusia itu berdukacita”, lalu baginda membaca ayat suci al-Quran surah Yunus ayat 62.
Allah SWT menyediakan kedudukan kepada mereka yang berkasih sayang kerana Allah. Mereka yang hidupnya berada di atas ‘cahaya’ dan memberi ‘cahaya’ kepada manusia yang lain. Tidak ada nilai sebuah kehidupan mewah jika tidak menyayangi dan disayangi oleh manusia lain.
Kasih sayang dan cinta adalah nikmat kurniaan Allah SWT yang maha hebat kerana dari rasa itulah akan menerbitkan rasa gembira dan bahagia. Dari perasaan bahagia itu mendorong manusia untuk mendapat sebuah kehidupan yang sejahtera.
Tidak ada nilai hidup ini sekiranya memiliki hati yang gelap, hitam dan keras dan tidak ada perasaan kasih dan sayang terhadap orang lain, Walau harta yang banyak, jika tidak bahagia dan gembira tidak bermakna kehidupan ini.
Binalah kasih sayang kita dengan pasangan kerana Allah, jangan dilihat pada kelemahan dan kekurangan diri orang yang yang membuat kita terhalang untuk menyayanginya. Sebaliknya passakkan dalam hati kejujuran dan keikhlasan melaksanakan sesuatu perkara itu untuk mendapat keredhaan Allah taala.
Ustazah Norhafizah berkongsi tentang kisah seorang wanita dan juga ibu yang dikurniakan dua orang anak yang berbeza dari segi rupa dan kepandaian mereka. Diantara keduanya, yang sering mendapat perhatian dan pujian daripada si ibu tadi adalah anak yang cantik dan pintar, manakala anak yang seorang lagi kurang mendapat perhatian dari si ibu.
Dengan takdir Allah SWT, anak yang disanjung dan dipuja itu dijemput Allah SWT lebih awal. Maka tinggallah anak yang tidak pandai dan tidak cantik itu. Justeru, kerana hanya tinggal seorang sahaja anak, kasih sayang si ibu tadi tertumpah sepenuhnya kepada anak yang sebelum ini tidak mendapat tempat utama di hati si ibu. Namun kerana hanya seorang itu sahaja anak tempat menumpah kasih, maka si ibu tadi belajar menyayangi anaknya itu tanpa berbelah bahagi.
Ibrah dari kisah ini, kita sebagai manusia sebenarnya boleh belajar untuk mencintai kekurangan. Jika sebelum ini, perasaan kepada seseorang hadir kerana naluri cinta dan kasih hanya kepada sesuatu yang indah, yang hebat dan yang sempurna, tetapi apabila cinta yang terbit itu kerana Allah, walau siapapun manusia di sisi kita, perasaan cinta itu tiada bertepi dan tidak bersyarat.
Begitulah hebatnya jika cinta dan kasih sayang itu diterbitkan kerana Allah SWT, manusia akan merasa bahagia dan dapat menikmati manisnya hidup ini dengan sewajar yang mungkin. Kekurangan yang ada dalam diri dapat dilengkapi dengan kekuatan berkasih sayang kerana Allah taala.  

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 17 Februari 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top