Kekalkan Momentum Ramadan

RAMADAN telah berlalu meninggalkan kita dan kini menjelang Syawal. Sepanjang Ramadan kita diasuh dengan pelbagai amalan dan mengekang nafsu daripada segala maksiat dan dosa. Dalam bulan Ramadan  kita begitu kuat menjaga “amalan” dan meninggalkan  “larangan”. Antara amalannya ialah memperbanyakkan solat sunat seperti Terawih, Witir, membaca al-Qur’an, bersedekah, dan lain-lain manakala larangan pula ialah menjaga lidah daripada bercakap bohong, mengumpat, berkelahi, memaki hamun, menjaga mata daripada melihat perkara maksiat dan lain-lain larangan. Namun adakah dengan berlalunya Ramadan, kita akan berhenti daripada melakukan amalan-amalan baik yang selama sebulan kita dengan gigih laksanakan, dan kembali untuk memecahkan “larangan” yang selama sebulan kita pelihara?  Jika begitulah sikap kita, maka kita sebenarnya bukan hamba Allah yang hakiki, tetapi “hamba Ramadan”.  Hanya  “hamba Ramadan” yang beramal bersungguh-sungguh sepanjang Ramadan sedangkan hamba Allah akan terus beramal sepanjang masa walau di luar bulan Ramadan hinggalah ke akhir hayat. Lantaran itulah para ulama berpesan “sesiapa yang “menyembah” Ramadan, maka Ramadan telah berlalu pergi, tetapi dia yang menyembah Allah, maka ketahuilah sesungguhnya Allah itu Maha Hidup dan Tidak akan mati selamanya”.

Momentum Ramadan hendaklah terus kekal dalam diri kita hingga ke sebelas bulan lagi sehingga tiba Ramadan tahun depan. Janganlah semangat Ramadan itu luntur dari diri kita kerana jika itu berlaku, maka kita telah gagal dalam latihan sebulan di madrasah Ramadan bagi melahirkan insan bertaqwa. Insan taqwa tidak terikat ketaqwaannya hanya di bulan Ramadan tetapi taqwanya sepanjang masa dan ketika hinggalah ke akhir hayat. Seorang yang tidak makan dan minum di bulan puasa walau ketika bersendirian, sebenarnya menginsafi dan menyedari bahawa Allah SWT memerhatinya. Adakah perasaan diperhatikan oleh Allah SWT itu terus dibawa ke bulan-bulan lain?  Inilah tanda jika seseorang itu telah melepasi latihan Ramadan dengan jayanya jika dirinya mula merasakan diperhati oleh Allah SWT setiap ketika.

Syawal yang tiba ini merupakan sambutan kejayaan bagi kita umat Islam yang berjaya melepasi tarbiyah Ramadan. Sambutan ini hanya untuk orang yang benar-benar berjaya sahaja, tetapi jika mereka yang sekadar berpuasa lapar dan dahaga sahaja sepanjang Ramadan, sedangkan tidak menjaga lidah, mata dan anggota lain maka tiada apa kejayaan yang ingin disambut. Kita juga sepatutnya memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana kita berpuasa pada waktu tertentu sahaja sekitar 12-13 jam sahaja dan berbuka pula dengan pelbagai juadah enak dan kemudiannya menyambut Syawal. Cuba bayangkan umat Islam di negara yang ditimpa kebuluran seperti di Etiopia, Somalia, Syria dan lain-lain yang seolah  “berpuasa” sepanjang masa berhari-hari dan Syawal juga tidak memberi apa-apa perbezaan kepada hidup mereka. Tiada juadah berbuka puasa, tiada kueh mueh berhari Raya dan tiada baju baharu.

Kedatangan Syawal ini justeru itu sepatutnya menambahkan lagi ketaatan kita kepada Allah SWT bukan sekadar bergaya dengan pakaian baharu. Saidina Ali RA pernah menyebut “bukanlah Hari Raya itu dengan berpakaian cantik, tetapi Hari Raya (yang sebenar) ialah orang yang selamat di Hari Akhirat kelak; bukanlah Hari Raya berpakaian cantik, tetapi Hari Raya (yang sebenar) ialah orang yang ketaatannya bertambah; bukanlah Hari Raya mencantikkan pakaian dan kenderaan, tetapi Hari Raya (yang sebenar) ialah apabila dosa-dosa diampun. Inilah hakikat sebenar kejayaan kita iaitu berjaya meningkatkan ketaatan kita kepada Allah SWT seterusnya berjaya melepasi ujian di Padang Mahsyar kelak.

Di bulan Syawal ini pula, sudah seakan menjadi budaya umat Islam di negara kita ini menyambut Hari Raya sebulan lamanya. Dari segi Islam, Hari Raya Aidul Fitri yang sebenar hanyalah 1 Syawal sahaja, selepas daripada itu ia tidak lagi dikira hari kebesaran Islam. Namun, amalan ziarah menziarahi yang mengeratkan silaturrahim dan saling memohon kemaafan merupakan anjuran umum sepanjang masa yang boleh diamalkan. Rumah Terbuka yang diperkenalkan di ibu kota besar merupakan salah satu bentuk untuk bertemu mata mengeratkan silaturrahim setelah semua warga kota kembali semula untuk bertugas selepas pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut 1 Syawal bersama ibubapa.  

Namun dalam keghairahan kita meraikan Rumah Terbuka sepanjang bulan Syawal ini, jangan pula kita leka untuk mengambil hanya enam hari sahaja daripada bulan Syawal ini untuk berpuasa sunat Syawal. Inilah antara Sunnah yang kerap dilupakan oleh manusia lantaran sibuk beraya. Daripada Abu Ayub al-Ansari menyebut Baginda SAW bersabda “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudiaan dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal, maka ia bagaikan berpuasa sepanjang masa (tahun) (HR Muslim, no.1164). Moga-moga Ramadan yang berlalu telah berjaya mendidik kita menjadi insan bertaqwa dan moga-moga Syawal menjelma mengeratkan kasih dan silaturrahim sesama kita.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 30 Jun 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top