MANUSIA sentiasa berharap agar tidak tergolong di kalangan mereka yang dihumban ke dalam neraka pada Hari Kiamat dan berdoa dengan penuh harapan supaya dilindungi daripada kemurkaan Allah SWT serta terselamat daripada neraka. Kedahsyatan neraka digambarkan sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Hajj, ayat 21: “Dan mereka pula disediakan batang-batang besi untuk menyeksa mereka.” Manakala di dalam surah Ghafir, ayat 71-72, Allah berfirman: Ketika belenggu dan rantai dipasung di leher mereka, sambil mereka, diseret. Ke dalam air panas yang menggelegak; kemudian mereka dibakar dalam api neraka;”
Di dalam riwayat al-Hassan menyebut, tidak lembah, celah ataupun belenggu dan juga rantai pada neraka itu kecuali tertulis setiap pemilik-pemiliknya. Riwayat Tirmizi meriwayatkan daripada Abdullah bin Amr bin al-Asr, Rasulullah SAW bersabda: “Jika benda seperti ini (sambil menunjukkan di bahagian belakang kepala Baginda) dilepas dari langit ke bumi, maka tempoh jarak masa perjalanannya adalah 500 tahun lamanya, akan sampai ke bumi sebelum malam. Sedangkan jika dilepaskan daripada atas rantai maka memakan masa selama 40 tahun siang dan malam untuk sampai ke dasar atau jurang-jurang neraka Allah.” Selain itu menerusi slot Mau’izati di IKIMfm bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, beliau juga berkongsi tentang gambaran mengenai neraka, jika Allah SWT mahu, maka diciptanya awan di dalam neraka. Pada ketika itu manusia yang sedang diazab di dalamnya akan terus teringat akan awan ketika mereka hidup di dunia dahulu. Awan itu menyebut kepada ahli neraka, “Wahai penduduk neraka, apa yang kamu inginkan ketika ini? Lalu mereka menjawab, “Kami inginkan air yang sejuk.” Kemudian diturunkan hujan yang mengikat mereka dengan rantai yang menambahkan beban mereka.
Muhammad bin al-Munkadir menyebut, jika semua besi di dunia ini dikumpulkan, maka tidak dapat menyamai satu lingkaran yang mengikat tubuh badan ahli neraka. Di dalam surah al-Haaqqah, ayat 39: “\”Selain dari itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)!” Ibnu al-Mubarak menyebut, diriwayatkan daripada Suffian daripada Bushair bin Da’luq menyebut, bahawa dia mendengar Nauf berkata mengenai firman Allah Taala, belitlah ahli neraka dengan rantai besi sepanjang tujuh puluh hasta itu. Setiap hasta sepanjang tujuh puluh depa dan setiap depa kiraannya adalah sejauh tempat kamu ini dengan Makkah. Pada waktu itu mereka berada di Kuffah, Iraq. Tidak terbayang betapa dahsyatnya neraka pada saat itu.
Bakar bin Abdullah meriwayatkan daripada Bin Abu Mulaikah, menyebut Ubai bin Ka’ad pernah menyebut satu lingkaran rantai yang dinyatakan oleh Allah Taala di dalam surah al-Haaqqah ayat 32, laksana dikumpulkan semua besi di dunia ini. Ibnu Zaid menyebut, tidak didatangi penduduk neraka kecuali rahmat Allah SWT yang mengangkat segolongan di kalangan mereka lalu mereka dikeluarkan. Ibnu Wahab meriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Zaid, katanya, pada Hari Kiamat neraka Jahannam diperlihatkan percikan bunga api seperti bintang. Lalu mereka berpaling dan melarikan diri, Allah berfirman: “Balik! Kembalilah”, kepada mereka sebagaimana di dalam surah al-Ghaafir, ayat 33: \”(Iaitu) hari kamu berpaling undur melarikan diri; padahal semasa itu tidak ada sesiapapun yang dapat menyelamatkan kamu dari azab Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tiada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.”
Menurut para ulama’, sebelum memasuki neraka berlakunya gegaran yang menakutkan ahli-ahli neraka yang menyebabkan mereka lari. Lalu mata mereka dicungkilkan dan masuk ke dalam neraka di dalam keadaan buta. Tangan dibelenggu, kaki dan leher juga diikat, lalu diheret untuk dihumban ke dalam neraka. Rasulullah SAW menyebut, jarak di antara kedua-dua bahu penjaga neraka itu seperti jarak di antara timur dan barat. Ibnu Zaid pula menyebut mereka mempunyai pemukul besi untuk memukul penghuni neraka. Jika diperintahkan kepada penjaga neraka untuk memukul, maka dia akan memukul, demikianlah ribuan malaikat yang tidak meletakkan tangan mereka pada sesuatu apapun kecuali tulang mereka remuk dan hancur lebur. Sambil ditarik ke neraka, mereka merayu agar diselamatkan, hanya wajah mereka yang terselamat dan di dalam keadaan buta. Ibnu Zaid membaca, “Maka apakah lagi yang boleh melindungi wajah-wajah kamu dari menghindari azab pada Hari Kiamat nanti? Sama dengan orang mukmin yang tidak diazab. Sebutlah kepada orang-orang yang hidup dan melakukan kezaliman. Rasalah apa yang telah kamu lakukan di atas dunia dahulu.”
Ketika dihumban ke dalam neraka, sewaktu hampir ke dasarnya, mereka dikejar dengan nyalaan api menjadikan mereka berasa ingin segera sampai ke bawah. Hampir-hampir keluar sahaja, mereka disambut malaikat dengan pemukul besi sehingga hancur lebur dan ia berlaku berulang-kali. Ibnu Zaid membaca lagi, “Dan ada orang yang fasik atau kafir tempat kediaman mereka ialah di dalam neraka. Setiap kali mereka merangkak untuk keluar daripada neraka, malaikat menolak kembali ke dalamnya sambil menyebut, “Rasailah kamu sekarang, yang di atas dunia dahulu, bukan main lagi kamu mendustai dan tidak percaya kepada ayat-ayat Allah SWT!” Firman Allah di dalam surah al-Ghaasyiyah, ayat 3-4: “Mereka menjalankan kerja yang berat lagi berpenat lelah, Mereka tetap menderita bakaran neraka yang amat panas (membakar)..”
Kuatnya bakaran api neraka sehingga melonjakkan manusia ke atas sehingga terlihat mereka ahli syurga, sedangkan wujudnya hijab di antara mereka. Ahli-ahli syurga itu memanggil-manggil ahli neraka, “Lihatlah kami ini. Kami ini sudah mendapat apa yang telah dijanjikan Allah kepada kami. Bagaimana dengan kamu? Adakah kamu yakin sekarang apa yang dijanjikan oleh Allah dahulu?” Ahli neraka menjawab, “Ya, kami sudah mendapatnya..” Lalu malaikat mengumumkan di antara kedua golongan itu, “Laknat Allah lah yang disediakan bagi mereka yang melakukan kezaliman di atas dunia dahulu”.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 1 Disember 2016