KEBAKARAN SALURAN GAS: PM MINTA KERAJAAN NEGERI, AGENSI BERKAITAN BERI BANTUAN 

KUALA LUMPUR, 1 April — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kerajaan Negeri Selangor dan agensi terlibat memberikan bantuan sewajarnya kepada mangsa yang terjejas dalam insiden kebakaran saluran paip gas di  Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pagi tadi.

Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, beliau turut menitipkan doa agar semua urusan petugas yang terlibat dalam operasi berkaitan insiden itu dipermudah.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Selangor DCP Mohd Zaini Abu Hassan memaklumkan bahawa setakat ini, seramai 112 mangsa dan 49 rumah terjejas dalam insiden itu.

Beliau berkata kesemua 112 mangsa yang cedera itu membabitkan penduduk  Taman Harmoni dan Kampung Kuala Kuala Sungai Baharu.

“Daripada 112 mangsa itu, 63 orang dihantar ke Hospital Cyberjaya, Serdang dan Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut akibat melecur dan masalah pernafasan serta luka.

“Bakinya iaitu 49 mangsa menerima rawatan awal di Kuil Sri Maha Kaliamman, Subang Jaya,” katanya pada sidang media di Pusat Operasi Khas JBPM dan PDRM di sini.

Sumber : – BERNAMA 

WhatsApp
Scroll to Top