KEBAKARAN PUTRA HEIGHTS: POLIS NAFI SEMBUNYI MAKLUMAT BERHUBUNG KEMATIAN

PETALING JAYA, 8 April – Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan menafikan pihaknya menyembunyikan laporan berhubung kematian akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya di sini pada 1 April lepas.

Hussein berkata tidak ada sebab untuk polis berbuat demikian, malah beliau memberi jaminan setiap siasatan dilakukan secara telus dengan kerjasama semua agensi berkaitan.

“(Dakwaan) menyorok kematian adalah sama sekali tidak benar, polis tidak pernah menyorok mana-mana kes kematian yang berlaku di Malaysia dan pihak polis tidak memperoleh sebarang manfaat untuk berbuat demikian.

“Jika ada mana-mana ahli keluarga atau kawan yang mengatakan ada kematian, sila tampil buat laporan polis. Jadi, saya minta kita janganlah buat tuduhan sebarangan yang tidak berasas sehingga menggusarkan lagi orang ramai.

“Pihak polis dan agensi kerajaan yang terlibat sentiasa telus. Semua dokumentasi dilakukan secara individu. Masing-masing akan buat laporan dan pemeriksaan siasatan, jadi tidak ada perkara yang perlu dilindungi,” katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights di sini hari ini.

Hussein berkata polis juga setakat ini tidak menerima sebarang laporan kehilangan harta benda akibat kecurian daripada mana-mana pihak.

Beliau berkata untuk memastikan keselamatan harta benda penduduk yang terkesan dalam kejadian itu, pihaknya menugaskan 120 anggota polis termasuk daripada Pasukan Gerakan Am bertugas 24 jam di setiap simpang di Taman Putra Heights dan Kampung Kuala Sungai Baru serta Kampung Sungai Baru.

“Jadi kalau ada yang mendakwa mereka kehilangan barang, sila ke balai polis berhampiran atau balai polis bergerak yang diletakkan di pusat pemindahan sementara (PPS) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata setakat ini polis menerima 675 laporan berhubung kerosakan kediaman dan harta benda selain merekodkan 186 keterangan saksi termasuk pengawal keselamatan di lokasi kejadian.

Sementara itu, Hussein berkata 270 daripada 437 rumah yang terkesan dalam insiden itu disahkan selamat untuk diduduki setelah penilaian dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). 

“Bagi kenderaan pula, daripada 571 kenderaan yang dinilai pihak JBPM, 88 kenderaan mengalami kerosakan lebih 50 peratus, 332 kenderaan mengalami kerosakan bawah 50 peratus dan 151 tidak terjejas,” katanya.

Insiden kebakaran saluran paip gas Petronas pada pukul 8.10 pagi Selasa lepas mengakibatkan api menjulang setinggi 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Kejadian itu mengakibatkan 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah lagi tidak terjejas.

Sumber : BERNAMA

WhatsApp
Scroll to Top