PROF. MADYA DR. SYARIFAH HAYAATI SYED ISMAIL dalam rancangan Tarbiyah yang bersiaran di radio IKIMfm Jumaat lepas jam 10.15 pagi berbicara tentang “Kaya”. Ini selari dengan Sabda Baginda SAW daripada Abu Hurayrah RA yang mafhumnya “Bukanlah kaya itu dengan memiliki harta yang banyak, tetapi kekayaan itu ialah kaya jiwa” (Bukhari & Muslim). Dengan kaya jiwa jugalah orang sanggup berkorban harta benda, masa dan wang ringgit demi kerana Allah SWT. Dalam Islam ini ada apa yang kita katakan tersurat dan tersirat. Kalau dari segi tersurat yang kita nampak atau terlintas sepintas lalu orang yang kaya ialah orang yang memiliki wang ringgit dan harta benda yang banyak. Tetapi, yang tersiratnya ialah orang yang sebenar-benar kaya ialah orang yang “kaya jiwa” walaupun mungkin dari segi kekayaan harta bendanya tidak seberapa.
Begitu juga orang yang kuat, kalau secara zahir dan yang terlintas di fikiran kita mestilah orang yang kuat fizikalnya, tetapi Baginda SAW menyebut mafhumnya: “Orang kuat bukanlah orang yang menang bergusti, tetapi yang disebut orang kuat adalah orang yang mampu mengendalikan dirinya pada saat marah”[HR. Bukhari dan Muslim]. Banyak kata-kata indah Baginda SAW yang memberi maksud hakiki terhadap sesuatu perkara termasuklah Baginda SAW pernah bertanya “siapakah orang yang dikatakan muflis?, maka para Sahabat menjawab orang muflis ialah orang yang tiada harta dan dirham, namun Baginda SAW menjawab orang muflis yang sebenar di Akhirat kelak ialah orang yang datang dengan pahala yang banyak tetapi ketika hidupnya dia menyakiti orang lain, mengumpat dan seterusnya lalu diambil pahalanya dan dia memikul dosa orang dia sakiti.
Begitu juga Nabi SAW pernah menyebut bahawa orang Islam itu ialah orang yang selamat lidahnya dan tangannya daripada menyakiti orang lain. Sabda-sabda Baginda SAW sebegini cukup indah apabila Baginda SAW membawa perspektif di luar rangka pemikiran zahir dan pandangan sepintas lalu kita, tetapi pergi kepada makna hakiki yang lebih mendalam.Kembali bercakap tentang “kaya jiwa” ialah orang yang menyenangkan orang lain walaupun mungkin dirinya mempunyai pelbagai masalah sendiri. Orang kaya jiwa ialah orang tidak terbawa-bawa emosi dan masalahnya hingga menyakiti orang lain. Memetik kalam Ibn Kathir di mana beliau menyebut “jika tidak boleh membahagiakan orang lain, jangan menjadikan orang lain derita; jika tidak boleh memuji janganlah pula mengeji; jika tidak boleh menyenangkan janganlah menyusahkan”.
Orang yang kaya jiwa ialah orang yang mampu menyembunyikan kesusahan, masalah yang dihadapinya apabila berhadapan dengan orang lain agar kita dapat menjaga hati orang lain. Orang yang tidak kaya jiwa ialah orang yang tidak peka terhadap orang lain, tidak prihatin kepada orang lain. Ketika mengerjakan ibadat haji misalnya, kita sedang dilatih agar menjadi orang yang kaya jiwa, terpaksa bertolak ansur, bersesak-sesak dengan para jemaah yang ramai, mendahulukan orang lain. Di Arafah atau Mina misalnya dengan bilangan bilik air yang terhad sedangkan dua juta manusia sedang berkumpul di situ, kita benar-benar diuji agar bersabar dan kaya jiwa. Orang yang kaya jiwa ialah orang yang tidak mementingkan dirinya sendiri tetapi mendahulukan orang lain walaupun adakalanya terpaksa menyusahkan dirinya sendiri.
Baginda SAW menunjukkan kepada kita betapa Baginda SAW sendiri seorang yang kaya jiwa. Pernah apabila Baginda SAW ketika mengimamkan solat dan mendengar anak menangis lalu Baginda memendekkan solatnya kerana prihatin, memahami kegelisahan ibu dengan anak yang menangis. Begitu juga apabila ada orang tua dan uzur yang menjadi makmun maka bagi orang yang kaya jiwa dia tidak akan memanjangkan solatnya kerana menyedari ada orang lemah di belakang kita yang menjadi makmun. Begitu juga jika kita makan makanan berbau seperti jering, petai, atau bawang putih maka kita diminta untuk betul-betul membersihkannya agar tidak berbau kepada orang lain khususnya apabila pergi ke masjid. Inilah sikap prihatin dan memahami perasaan orang lain, menjaga agar tidak menyusahkan orang lain.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 15 September 2017