KAMPUNG PINANG KAMPUNG ANGKAT IKIM

TAIPING, 12 Oktober (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) memilih Kampung Pinang, Kamunting dekat sini sebagai kampung angkat menerusi Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI).

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata program ini sebagai menyahut hasrat Perdana Menteri dalam mendekatkan diri kepada masyarakat bagi membantu meningkatkan keupayaan masyarakat serta potensi kampung yang dipilih. 

“Menerusi program ini, kita akan tumpukan kepada dua aspek iaitu pendidikan serta pembangunan eknomi komuniti dan isu ini perlu kerjasama semua pihak terutamanya IKIM dan komuniti Kampung Pinang,” kata beliau. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) di Dewan Kampung Pinang, Kamunting, dekat sini, hari ini. 

Tambah beliau, konsep membantu ini merupakan nilai yang terkandung dalam gagasan Malaysia MADANI iaitu Ihsan yang mana mengambil peduli tentang apa yang berlaku serta masalah masyarakat sekitar. 

Sementara itu, pelbagai pengisian menarik turut diadakan sepanjang program berlangsung termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, Forum Bicara Ad-Din, cabutan bertuah dan jamuan rakyat khusus untuk penduduk kampung selain lawatan ke Pusat Pengajian Madrasah At-Tazkiyyah.

Dalam program tersebut, penyampaian sumbangan turut diberikan berupa barangan keperluan harian kepada keluarga asnaf sumbangan Nestle dan penyumbang-penyumbang lain. 

Selain itu, rakaman Forum Bicara Ad-Din yang diadakan turut mengajak masyarakat setempat cakna tentang isu-isu jenayah serta pembangunan ekonomi komuniti yang disampaikan oleh ASP Ahmad Denial Bin Ahmad Fadzil, Ketua Bahagian Integriti Dan Pematuhan Standard, IPD Taiping; dan Tn. Hj. Abu Bakar bin Yang, Pengarah Bahagian Wakaf IKIM selaku panel. 

Program tersebut turut dihadiri ACP Mohamad Nasir Ismail, Ketua Polis Daerah Taiping; Mohd Nasrul Menhat, Pegawai Daerah Larut Matang Selama; dan Mohamad Zakuwan Samsudin, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pinang. 

Scroll to Top