JBPM CIPTA SENSASI RANGKUL TIGA EMAS DI TEMASYA WORLD POLICE AND FIRE GAMES 2025 DI AMERIKA SYARIKAT

BIRMINGHAM, 1 Jul (IKIM) – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakar kejayaan membanggakan di persada antarabangsa apabila berjaya merangkul tiga pingat emas serentak dalam acara Bodybuilding (Men Physique) pada hari keempat Temasya World Police and Fire Games (WPFG) 2025 yang sedang berlangsung di Birmingham, Amerika Syarikat.

Kemenangan berganda ini lebih manis kerana ia merupakan penampilan sulung JBPM dalam acara tersebut, yang menyaksikan penyertaan hampir 9,000 atlet dari seluruh dunia dalam lebih 60 acara sukan yang dipertandingkan.

Tiga pingat emas tersebut diraih dalam kategori Men Physique Age 30 – 39 (1.79m / 5’10” & bawah), Men Physique Age 40 – 49 (1.65m / 5’5” & bawah) dan Men Physique Age 40 – 49 (1.79m / 5’10” & bawah).

Kontinjen JBPM pada edisi kali ini disertai seramai 35 atlet termasuk pengurus pasukan, yang bertanding dalam lima acara utama iaitu golf, boling, dart, badminton serta bench press dan push pull.

Sebagai rekod, pada WPFG 2023 yang berlangsung di Winnipeg, Kanada, pasukan JBPM telah mengharumkan nama negara dengan membawa pulang 18 pingat emas, 19 perak dan 12 gangsa.

Kejayaan awal dalam acara Men Physique ini memberikan suntikan semangat buat keseluruhan kontinjen untuk terus beraksi cemerlang dan menyasarkan pencapaian lebih tinggi berbanding edisi terdahulu.

Kejayaan wira merah membawa pulang pingat pada temasya WPFG 2025 di peringkat antarabangsa ini bukan sahaja mengharumkan nama JBPM, malah negara di peringkat dunia.

WhatsApp
Scroll to Top