JAWATANKUASA KHAS BELIA PERKASA PERANAN MASJID, JPM (HAL EHWAL AGAMA) SOKONG SERUAN PERDANA MENTERI

KUALA LUMPUR, 25 Jan (IKIM) – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyatakan sokongan penuh terhadap seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya setiap masjid mewujudkan jawatankuasa khas anak muda bagi memperkasa penglibatan belia dalam aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Dr. Zulkifli Hasan berkata, inisiatif tersebut selari dengan usaha memakmurkan masjid sebagai pusat pembangunan ummah dan pembinaan akhlak generasi muda, selain memberi ruang kepada belia merancang serta melaksanakan program mengikut keperluan mereka.

“Masjid merupakan pusat tarbiah dan pembentukan sahsiah ummah berlandaskan contoh Rasulullah melalui Masjid Nabawi, dan wajar diperkasakan sebagai ruang mesra anak muda yang beradab, inklusif serta patuh kepada syariat Islam,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Zulkifli memaklumkan JPM (Hal Ehwal Agama) melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan meneliti cadangan penubuhan jawatankuasa khas anak muda di masjid bagi memperkukuh peranan belia secara lebih tersusun.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif melibatkan belia telah dilaksanakan termasuk Program Kariah Madani, penganjuran Kuliah Zuhur oleh asatizah muda di Surau Parlimen serta Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan (HAMKA) yang dijadual berlangsung Februari ini, menghimpunkan seramai 1,000 asatizah muda dari seluruh negara.

Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Masjid Kubang Ulu di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam mencadangkan supaya setiap masjid mewujudkan jawatankuasa khas orang muda bagi memberi ruang kepada golongan belia merancang serta melaksanakan program kemasyarakatan dan keagamaan.

Anwar berkata penglibatan aktif anak muda penting bagi memastikan masjid terus berperanan sebagai pusat pembangunan ummah serta institusi yang sentiasa diimarahkan.

WhatsApp
Scroll to Top