Jauhi Sifat Buruk Sangka

BURUK sangka adalah salah satu daripada sifat-sifat mazmumah. Manakala mencari-cari kesalahan orang lain pula hadir apabila wujudnya sangkaan buruk di dalam hati manusia. Apabila timbulnya buruk sangka, maka sudah tentu rasa ingin mencari kesalahan seseorang itu timbul sehingga terbukalah kesalahan, aib atau kelemahan seseorang itu.

Sesiapa yang mempunyai sifat buruk sangka kepada sesama Islam, maka ia wajib bertaubat dan beristighfar  kepada Allah SWT.  Dosa orang yang berburuk sangka adalah besar dan perbuatan jahat, setiap perbuatan jahat Allah akan mencampakkannya ke dalam neraka Allah.Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman ! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain . Adakah seseorang  dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat)maka sudah tentu kamu jijik kepadanya . (oleh itu , patuhilah larangan-larangan tersebut )dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani (Surah Al Hujurat ,ayat 12).

Ketika menjelaskan secara terperinci ayat tersebut dalam rancangan Pesona D’ Zahra  di IKIMfm pada minggu lalu, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin berkata ia terkandung perintah untuk menjauhi kebanyakan berprasangka, kerana sebagian tindakan berprasangka ada yang merupakan perbuatan dosa. Dalam ayat  berkenaan  juga terdapat larangan berbuat tajassus. Tajassus ialah mencari-cari kesalahan-kesalahan atau keburukan atau aib orang lain, yang biasanya merupakan kesan daripada  prasangka yang buruk. Dalam erti kata lain, kita disaran agar tidak terpengaruh dengan individu yang suka bersangka-sangka.

Allah mengingatkan kita, sebahagian prasangka itu perbuatan dosa kerana ia timbul daripada perasaan iri hati atau dengki terhadap seseorang. Ia juga menyebabkan timbul tuduhan berasas kerana orang lain turut serta melakukan perbuatan serupa. Ini menambahkan lagi prasangka buruk sedia ada. Teknologi komunikasi yang tidak bersempadan meluaskan penyebaran maklumat yang boleh meracuni akal manusia yang tidak tahu membuat pertimbangan antara fitnah dan hak. Oleh itu, sebagai hamba yang beriman kepada Allah, kita perlu menjaga pertuturan dengan berbicara yang baik saja atau berdiam diri seperti sabda Rasulullah  SAW  maksudnya: “ Barangsiapa yang beriman kepada Alah  dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata-kata  yang baik atau hendaklah ia diam.(Riwayat Imam al-Bukhari). Menurut Muhammad, seseorang itu mudah terpengaruh dengan sangkaan yang dibuat oleh oleh orang lain atas tiga sebab. Pertama adalah   disebabkan tidak kenal  orang yang diburuk sangka itu. Oleh itu, elakkan mencari kekurangan orang lain , tetapi  bergaullah dengan orang yang diburuk sangka terhadapnya itu  dengan lebih rapat dan berdoalah kebaikan untuk baginya.

Seterusnya  bagi mengelakkan kita terpengaruh dengan segala perkhabaran  yang tidak dipastikan kesahihannya, adalah amat penting untuk kita sentiasa peka dan memahami situasi yang dilalui oleh individu yang diburuk sangka itu. Jika tidak  mengambil peduli  perkara sebegini sifat buruk sangka akan sentiasa berlanjutan. Jiwa akan hancur luluh, perasaan amat tertekan, rumahtangga kian runtuh, kedamaian akan musnah, masyarakat menjadi porak-peranda. Kesemuanya itu adalah gara-gara perangai buruk sangka. Justeru, Islam sangat-sangat mendesak umatnya agar mendahulukan bersangka baik daripada cepat bersangka buruk. Satu-satu hukuman tidak harus dijatuhkan hanya berdasarkan kepada sangkaan.

Selain itu, individu yang tidak mempunyai pendirian  akan menyebabkannya mudah terpengaruh dengan segala  sangkaan yang negatif yang diterima daripada  pihak lain. Oleh itu, apabila  mendapatkan sebarang maklumat atau berita  negatif tentang sesuatu yang berkait dengan peribadi seseorang apatah lagi seorang Muslim, maka kita harus melakukan tabayyun (penyelidikan) terlebih dahulu sebelum mempercayainya, apatah lagi memberi maklum balas  secara negatif. Allah berfirman yang maksudnya, “Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (Surah al-Hujuraat, ayat 6).

Berburuk sangka terhadap suami  adalah berdosa. Dalam kes isteri yang tidak mempercayai suami , ia hanya akan membawa lebih banyak  keburukan daripada kebaikan. Pertengkaran akan  terjadi apabila isteri menuduh  suami melakukan perbuatan yang tidak melakukannya. Kesimpulannya, dalam  melayari rumahtangga  yang bahagia,  setiap pasangan disaran  agar  tidak sesekali berburuk sangka dan  mudah terpengaruh dengan  pihak lain yang bersangka-sangka.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 12 Jun 2017
WhatsApp
Scroll to Top