PUTRAJAYA, 2 Okt (Bernama) — Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar hari ini mengingatkan semua agensi dan institusi amal jariah di Malaysia agar tidak mengkhianati amanah yang diberikan oleh mereka yang berinfakĀ atau bersedekah.
Beliau berkata penyelewengan dana sumbangan dan pengurusan yang tidak telus akan menyebabkan orang ramai hilang kepercayaan terhadap institusi yang terlibat mengutip infak sekali gus menyebabkan mereka tidak berminat untuk bersedekah.
“Tadbir urus yang cekap bukan sahaja akan melahirkan organisasi amal jariah yang berdaya saing malah mampu meraih serta mengekalkan keyakinan masyarakat untuk terus menyumbang dan menjadikan institusi berkenaan sebagai institusi infak pilihan.
“Jadi sebab itu saya sampaikan kepada semua agensi dan institusi amal untuk memastikan tatakelola dan tadbir urus yang baik dilakukan dengan seketat-ketatnya….jangan sesekali kita mengkhianati amanah yang diberikan oleh penyumbang-penyumbang infak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup Forum Serantau YAPEIM (FSY) 2024 yang dianjurkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) di sini, hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Na’im turut mengingatkan semua agensi dan badan infak untuk beroperasi berdasarkan prinsip patuh syariah yang menggalakkan pelaburan beretika dan pertumbuhan ekonomi yang bertanggungjawab secara sosial.
Beliau berkata sektor infak memainkan peranan penting dalam memperkasakan ekonomi umat Islam di Malaysia dengan menangani cabaran sosioekonomi jangka pendek dan jangka panjang.
“Infak dan sedekah boleh bertindak sebagai jaringan keselamatan sosial selain memberikan bantuan kepada mereka yang menghadapi kesukaran kewangan.
“Ini sangat penting dalam menangani kejutan ekonomi secara mengejut seperti kehilangan pekerjaan, penyakit atau bencana alam. Rangkaian institusi amal jariah yang berintegriti dan kukuh dapat membantu individu daripada terjerumus ke lembah kemiskinan,” jelasnya.
Mengulas mengenai penganjuran FSY 2024, Mohd Na’im berkata forum dua hari tersebut berjaya merumuskan strategi dan inisiatif dalam memajukan pembangunan ekonomi dan kewangan Islam serta menggalakkan pertumbuhan yang mampan dan inklusif.
“Adalah menjadi harapan saya agar semua hasil dan inti pati utama forum ini didokumenkan dengan baik dan dipanjangkan kepada pelbagai pihak berkepentingan untuk tindakan seterusnya demi pembangunan negara Malaysia dan pembangunan ummah di peringkat serantau,” katanya.
Sebanyak 12 resolusi dicapai menerusi pelbagai sesi perbincangan FSY 2024 termasuk keperluan penggubalan dasar ekonomi dan kewangan yang berteraskan ekonomi Islam; pemerkasaan kerjasama strategik serantau yang melibatkan pelbagai peringkat pemegang taruh; peningkatan teknologi digital dalam ekonomi Islam serta cadangan pindaan kepada beberapa akta bagi memperkasakan tatakelola sektor infak.
— BERNAMA