JAKIM SANTUNI KOMUNITI MUSLIM HATYAI, EDAR 290 NASKAH AL-QURAN

HATYAI, 31 Julai (IKIM) – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyantuni komuniti Islam di Hatyai, Thailand menerusi penganjuran ‘Program Al-Quran Di Mana-mana’ dengan edaran 290 naskah Al-Quran.

Sumbangan merupakan kesinambungan inisiatif ‘Wakaf Sejuta Al-Quran’ itu turut membawa mesej menghidupkan dan membudayakan al-Quran dalam kehidupan.

Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM, Dr. Muhammad Yamin Ismail berkata sumbangan al-Quran ini juga sebagai usaha JAKIM menyampaikan dakwah pembacaan al-Quran di mana-mana serta dalam rangka promosi Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 yang bakal berlangsung Sabtu ini. 

Majlis serahan yang berlangsung di Al-Hidayah Waqaf Foundation di sini, semalam. 

“Kita mengharapkan inisiatif ini dapat membudayakan amalan membaca dan menghayati al-Quran dalam segenap aspek kehidupan masyarakat, terutamanya dalam kalangan pelajar tahfiz dan komuniti Islam setempat,” kata beliau.

Selain itu, sumbangan sebanyak RM70,000 turut disampaikan kepada enam institusi Islam di Selatan Thailand antaranya Masjid Bannue Hatyai, Sekolah Islam Kallayanachonrangsan, Maahad Tahfiz al-Abdia, Al-Hidayah Waqaf Foundation, Islamic Advising Centre Satun, dan Maahad Tahfizul Quran Masjid Jamul Kubra yang masing-masing menerima RM5,000.

Selain itu, bantuan makan tengah hari bernilai RM10,000 turut diagihkan kepada golongan asnaf di Masjid Bannue. 

Dr. Muhammad Yamin berkata inisiatif itu bukan sahaja menyantuni keperluan rohani, malah menyokong kesinambungan pendidikan dan kebajikan umat Islam di selatan Thailand. 

Turut hadir Pengasas al-Hidayah Waqaf Foundation, Ustaz Adul Meatam.

WhatsApp
Scroll to Top