JAKIM LANCAR MANUAL PSIKOSPIRITUAL ISLAM PERKASA PENJAGAAN KEROHANIAN MASYARAKAT

KUALA LUMPUR, 3 Nov (IKIM) – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini melancarkan Manual Psikospiritual Islam, sebuah panduan komprehensif berteraskan pendekatan Islam bagi memperkukuh penjagaan kesejahteraan rohani masyarakat.

Pelancaran yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Hj. Mohd Na’im Mokhtar sempena Konvensyen Nasional MADANI Penjagaan Spiritual Islam Tahun 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata, manual baharu itu dibangunkan hasil kerjasama JAKIM dengan Persatuan Psikospiritual Islam (IPSA) yang diketuai oleh Profesor Dr. Che Zarrina binti Sa’ari, dengan berasaskan konsep spiritual well-being menurut ajaran Islam serta pemikiran Imam Al-Ghazali.

“Manual ini mencerminkan prinsip Rahmatan lil ‘Alamin dalam sistem penjagaan kesejahteraan kesihatan masyarakat dan menjadi pelengkap kepada kesejahteraan mental dan fizikal melalui pendekatan Bio-Psiko-Sosial-Spiritual,” kata beliau.

Beliau berkata, langkah JAKIM memperkenalkan Modul Kaunseling Syarie dan kini Manual Psikospiritual Islam menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan pendekatan Islam dalam bidang kesihatan mental dan pembangunan insan.

Mohd Na’im turut menzahirkan penghargaan kepada JAKIM dan IPSA atas kejayaan menghasilkan manual yang dianggap sebagai rangka kerja penting dalam memperkasa penjagaan spiritual Islam di Malaysia.

“Dalam kerangka Malaysia MADANI, pembangunan spiritual menjadi tunjang kepada rukun IHSAN MADANI,”kata beliau.

Beliau turut menyarankan agar hasil konvensyen ini dapat diterjemahkan dalam bentuk dasar kebangsaan penjagaan spiritual Islam, yang boleh diguna pakai oleh penggubal dasar, ahli akademik dan pengamal kesihatan.

“Konvensyen ini bukan sekadar medan akademik, tetapi seruan untuk kembali kepada hakikat insan. Dalam arus kemodenan, ramai mencari penawar kesakitan zahir, namun terlupa mengubat hati dan jiwa,” tambah beliau.

Beliau berharap kolaborasi antara agensi kerajaan dan persatuan dalam menganjurkan program seperti ini akan diteruskan demi membina masyarakat sihat, sejahtera dan berjiwa hamba, selaras dengan visi Malaysia MADANI yang menyeimbangkan ilmu, iman dan ihsan.

Foto: FB Dato’ Setia Dr. Na’im

WhatsApp
Scroll to Top