Jadilah Isteri Solehah

HIDUP bergelar suami isteri memang akan banyak ujian yang perlu dilalui. Tanggungjawab yang digalas sebagai seorang suami mahupun isteri bukanlah satu tugas yang mudah. Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin memetik  Surah Al-Anfal Ayat 46 yang bermaksud “Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”

Isteri yang solehah ialah mereka yang patuh kepada perintah Allah dan rasul-Nya serta taat kepada suami dan tidak sesekali membohonginya.  Daripada Imam Ahmad dan Imam Muslim, daripada Ibnu Umar, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Bermula dunia ini ialah kesukaan dan keseronokan dan sebaik-baik kesukaan itu adalah wanita yang solehah.”

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda: “Mahukah kamu, aku beritahu daripada hal sebaik-baik barang yang perlu disimpan oleh seseorang lelaki? Ia adalah isteri solehah. “Jika suami melihat kepadanya dia akan gembira; jika suami menyuruh sesuatu dia akan taati; dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara akan kehormatan dirinya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah). Berbohong kepada suami adalah berdosa.Jika suami tidak reda dengan sikap pembohongan itu, akan kekal dosa isteri itu terhadap suaminya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Aku melihat dalam neraka, tiba-tiba ramai antara ahlinya adalah wanita. Maka seorang wanita bertanya: “Mengapa ya Rasulullah?” “Rasulullah menjawab: “Mereka banyak bersumpah dan tidak berterima kasih kepada suaminya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, ia bukanlah sesuatu yang pelik jika kadang-kadang pertengkaran boleh berlaku. Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami siteri. Begitulah umpama asam garam dalam perkahwinan. Hatta perihal kecil pun kadang-kadang boleh jadi perkara yang besar. Dalam hadis lain diterangkan daripada Ibnu Abbas, sesungguhnya seorang wanita daripada suku Khatam datang menemui Rasulullah dan bertanya: “Wahai Rasulullah, sampaikanlah kepadaku keterangan apa hak suami terhadap isteri?” Baginda bersabda: “Sesungguhnya, hak suami terhadap isteri itu ialah jika suami menghendaki dirinya, sekalipun dia berada di atas kenderaan, dia tidak menolak dirinya untuk memenuhinya, dan hak suami atas isterinya iaitu isteri tidak boleh puasa sunat tanpa izin suaminya, dan jika dia terus melakukannya, maka ia hanya akan mendapatkan lapar dan dahaga dan tidak diterima puasanya itu, dan isteri itu juga tidak boleh keluar rumah tanpa izin suaminya, jika dia tetap keluar, maka malaikat langit, malaikat rahmat serta malaikat azab akan mengutuknya sampai dia pulang.” (Hadis riwayat Thabrani).

Kecemburuan seorang suami terhadap isteri adalah fitrah yang dituntut oleh agama. Suami yang tidak cemburu dengan kemungkaran dilakukan isterinya, tergolong daripada kalangan dayus. Dayus ialah golongan yang dilaknat Allah dan diharamkan syurga ke atas mereka. Dalam bab ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Kecemburuan itu termasuk sebahagian daripada iman, midzak (membenarkan lelaki lain ke dalam rumah (juga rumah tangga) kemudian dibiarkan bersama isterinya itu, termasuk sifat munafik.” (Hadis riwayat Bazar dan Baiha).

Pada siri perbincangan yang lalu dalam rancangan Pesona D’ Zahra , Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin   menyimpulkan, ciri-ciri isteri solehah dalam ayat di atas adalah Wanita yang mempunyai kasih sayang dan sentiasa mencari keredaan suaminya. Melayani suaminya dengan cara yang paling terbaik (sedia berkhidmat kepada suami) dengan menyiapkan segala keperluannya. Menjaga rahsia dan amanah suami. Selalu berpenampilan menarik di hadapan suaminya sehingga akan menyenangkannya. Ketika bersama suaminya, wanita solehah itu tidak melakukan hal yang boleh menghalang suaminya untuk bermesra dengannya. Oleh yang demikian ciri seseorang wanita solehah itu haruslah yang memelihara maruah suaminya iaitu dengan menjaga diri dan harta suaminya itu.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 24 Julai 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top